Voge FR150 2024 dilancarkan di Malaysia, harga RM 8,888.00

MForce Bike selaku pengedar rasmi motosikal berjenama Voge di pasaran Malaysia baru-baru ini secara rasmi melancarkan sebuah model moped terbaharu iaitu Voge FR150 2024. FR di sini merujuk kepada perkataan Formica Rossa, bermaksud Semut Merah di dalam Bahasa Melayu. Harga asasnya ditawarkan sebanyak RM 8,888.00 sahaja, yang boleh dikatakan berpatutan.

Voge FR150 2024 tampil dengan tiga pilihan warna menarik, dan dilengkapi dengan ciri-ciri yang moden dan canggih. Antaranya ialah Smart Key, LCD Meter, USB Port Charger, Dual Channel ABS, Slipper Clutch, dan Monoshock Suspension. Enjinnya 149.6cc (4-stroke, 4-valve, water-cooled, DOHC) dengan kuasa maksimum 15.4hp @ 8,500rpm dan tork 13.5Nm @ 7,500rpm.

Spesifikasi standard lain pada model moped sporty ini adalah seperti tangki bahan api 5.8 liter, ketinggian tempat duduk 795 mm, sistem brek cakera depan dan belakang, dan beratnya 123 kg (curb weight). Untuk pasaran Malaysia, Voge FR150 2024 ini bakal memberikan pilihan yang lebih luas kepada peminat model moped tempatan. Adakah ianya akan menjadi pilihan anda?

Selain itu menurut sumber, alat ganti dan juga aksesori untuk model moped ini bukanlah suatu masalah besar. Ini kerana ianya dibangunkan dengan asas model moped daripada Yamaha dan Honda, dan dikatakan boleh menggunakan alat ganti dan aksesori daripada kedua-dua jenama popular itu. Malah Rapido Malaysia juga telah mengeluarkan aksesori yang menarik untuknya.

Sumber gambar : Motoworld Malaysia, Amy CH Motor, Roda Roda