SYM Maxsym TL 508 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada Mac 2024, anggaran harga di bawah RM 48k

Berita baik untuk peminat model skuter maxi di pasaran tempatan. MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. baru-baru ini dikhabarkan bakal melancarkan model skuter terbaharu SYM Maxsym TL 508 untuk pasaran Malaysia, yang dijadualkan pelancaran rasminya pada bulan Mac 2024.

Anggaran harga asasnya pula setakat ini dikatakan di bawah RM 48k. Dengan pelancarannya nanti, SYM Maxsym TL 508 ini bakal memberikan saingan terhadap model terbaharu Kymco AK550 Premium 2024, yang ditawarkan dengan harga asas sebanyak RM 65,600.00.

Aspek spesifikasi, SYM Maxsym TL 508 dilengkapi enjin bersesaran 508cc (In-line twin cylinder, 8V, DOHC, liquid-cooled) bertaraf Euro 5, dengan kuasa maksimum 45.5PS (33.5kW) @ 6,750rpm dan tork maksimum 49.9Nm @ 5,250rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi CVT, manakala tangki bahan apinya didatangkan dengan kapasiti maksimum 12.5 liter.

Spesifikasi lainnya termasuklah fork depan upside-down, suspensi belakang monoshock ‘single-sided with Multi-link’, brek cakera depan dan belakang berdiameter 275 mm dengan sistem ABS Dual Channel, tayar depan dan belakang bersaiz 120/70-15 dan 160/60-15, ketinggian tempat duduk pada paras hanya 795 mm, dan berat penuh yang mencapai 227 kg (curb weight).

Spesifikasi menarik lain pada SYM Maxsym TL 508 antaranya ialah Keyless System, port Quick Charge 3.0 untuk mengecas peranti dengan pantas, panel instrumen digital TFT, sistem lampu LED, dan TCS (Traction Control System) untuk meningkatkan lagi tahap keselamatannya.

Imbas kembali, MForce Bike sebelum ini pada tahun 2020 yang lalu telah melancarkan model SYM Maxsym TL 500. Oleh itu SYM Maxsym TL 508 ini bakal menjadi model pengganti yang kini telah dinaik taraf dengan enjin yang lebih besar dan juga spesifikasi yang lebih baik.

Sumber : mekanika.com.my