Suzuki GSX-S1000GX+ 2024 diperkenalkan di pasaran UK, harga £15,599.00

Pada bulan November 2023 yang lepas, Suzuki telah memperkenalkan sebuah model terbaharu iaitu Suzuki GSX-S1000GX 2024. Terkini, Suzuki memperkenalkan pula model Suzuki GSX-S1000GX+ 2024, versi yang dilengkapi dengan sepasang pannier sebagai ciri standard.

Untuk pasaran UK, harga yang ditawarkan untuk GSX-S1000GX+ ialah sebanyak £15,599.00, bersamaan nilai RM 92,415.24 mengikut kadar tukaran mata wang semasa. Ianya merupakan tambahan sebanyak £1,100.00 (RM 6,516.88) sahaja berbanding harga GSX-S1000GX.

Menurut Suzuki, pannier pada GSX-S1000GX+ menawarkan ruang storan sehingga 36 liter, di mana setiap satu daripadanya boleh memuatkan sebuah helmet bermuka penuh. Kemudahan yang ditawarkan itu menjadikan model tersebut lebih praktikal untuk perjalanan jarak jauh.

Spesifikasi lain seperti sistem suspensi semi-active daripada Showa, yang mana suspensi belakangnya didatangkan dengan talaan prabeban automatik atau tiga pilihan tetapan iaitu untuk tunggangan solo, penunggang dengan pembonceng, atau penunggang dan bagasi. Penunggang juga boleh memilih tiga pilihan talaan hard damping sama ada soft, medium, atau hard.

Suzuki GSX-S1000GX+ 2024 turut dilengkapi dengan six-axis IMU daripada Bosch, di samping menawarkan ciri-ciri seperti cruise control, cornering ABS, tiga pilihan power modes, bi-directional quickshifter, dan skrin TFT 6.5 inci berwarna dengan ciri sambungan ke telefon.

Di bahagian sistem penjana kuasa, ianya bersesaran 999cc (4-stroke, 4-cylinder, liquid-cooled, DOHC) dengan padanan sistem transmisi enam kelajuan. Enjin empat silinder itu menghasilkan prestasi maksimum 152PS @ 11,000rpm dengan tork maksimum 106Nm @ 9,250rpm.