Selain daripada model SYM ADXTG 400 2024, sebuah lagi model skuter adventure terbaharu iaitu SYM ADX 300 2024 turut diperkenalkan di EICMA 2023, pada bulan November yang lepas. Menurut SYM, ianya diasaskan daripada model skuter SYM Joyride 300 dengan enjin 278.3cc.
Melihat kepada spesifikasi enjin tersebut pada model Joyride 300, ianya mempunyai hanya satu silinder, dengan kuasa maksimum 25.5hp @ 8,000rpm dan tork 26Nm @ 6,000rpm. Enjin dengan sistem EFI dan penyejukan cecair itu kemudiannya dipadankan dengan transmisi CVT.
Oleh kerana SYM ADX 300 ini merupakan sebuah model skuter bergaya adventure, rangka dan sistem suspensinya kini telah ditala semula agar ianya sesuai ditunggang di jalan pinggir bandar yang tidak rata. Aspek ergonomiknya juga dipertingkatkan untuk akvititi rekreasi di kawasan luar.
Untuk perjalanan yang lebih jauh, SYM ADX 300 2024 dibekalkan dengan tangki bahan api 16 liter, berbanding 11.5 liter pada model Joyride 300. Ianya dijangka akan berada di pasaran global bermula pada tahun depan. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum ada sebarang maklumat.