Pelancaran rasmi Super Moped Modenas 2025 masih lagi jauh dari jangkauan, namun peminat model tersebut pada ketika ini sudah tidak sabar-sabar menantikan kemunculannya.
Malah ada peminat yang bersetuju dengan kemungkinan bahawa model itu boleh menjadi model moped nombor satu di Malaysia, dan bakal dinobatkan sebagai Raja Jalanan terbaharu.
Setakat ini antara fakta yang masih menjadi misteri ialah berapakah jumlah kapasiti enjin yang bakal melengkapi Modenas Super Moped 2025. Adakah bakal ada kejutan dari Modenas?
Seperti mana yang telah kita semua ketahui sebelum ini, pembangunan model moped tersebut pada ketika ini merupakan hasil daripada kolaborasi di antara Modenas dan Kawasaki.
Jadi dengan adanya bantuan dan input secara terus daripada Kawasaki, hasilnya nanti sudah pasti bukan biasa-biasa. Malah tidak keterlaluan jika hasilnya nanti menggemparkan.
Oleh itu sekadar impian dan fantasi, mungkinkah Super Moped Modenas 2025 akan menjadi model moped pertama di dunia yang bakal dilengkapi dengan enjin bersesaran 250cc?
Kedengarannya seperti mustahil, namun teknologi di dalam dunia permotoran sentiasa berubah, dan kebanyakan pengeluar motosikal sentiasa berlumba-lumba menjadi yang pertama.
Tambahan pula Kawasaki terkenal dengan teknologinya yang radikal, seperti mana enjin supercharger dan pelancaran model-model elektrik dan hibrid terbaharu baru-baru ini.
Untuk melengkapkan enjin 250cc pada Super Moped Modenas 2025 pula sebenarnya adalah mudah, berdasarkan enjin sedia ada pada model sports bike Kawasaki Ninja 250SL.
Enjin satu silinder itu boleh menjadi enjin asas untuk Super Moped Modenas 2025, seterusnya dikemaskini dengan teknologi terbaharu agar ianya mematuhi piawaian emisi terkini.
Dengan enjin 250cc, sudah pasti Super Moped Modenas 2025 akan menjadi model yang paling berkuasa di dalam segmen super moped, dan jauh meninggalkan semua pesaingnya.
Modenas sebenarnya sudah tidak mempunyai pilihan lain. Untuk bersaing dengan model-model moped popular di pasaran tempatan pada ketika ini, ianya kelihatan sangatlah sukar.
Kecuali jika Modenas Super Moped 2025 tampil dengan suatu kejutan yang tidak disangka-sangka. Adakah fantasi impian enjin 250cc pada model tersebut bakal menjadi realiti?