Model moped SYM VF3i 185 telah lama dilancarkan di pasaran Malaysia, iaitu sejak tahun 2018. Versi terakhir untuk model itu sebelum ini tampil dengan warna oren yang menawan.
Terkini dikhabarkan model tersebut bakal menerima naik taraf facelift terbaharu, dan buktinya ialah melalui paparan imej spyshot model berkenaan yang sedang ditunggang uji (sumber gambar daripada laman Facebook Arena Motor).
Melihat kepada paparan dua keping gambar spyshot itu, penampilan baharu SYM VF3i 185 yang mungkin akan dilancarkan pada tahun 2024 ini kelihatan lebih sporty, moden dan segar.
Sememangnya sudah sepatutnya model moped dengan enjin terbesar di pasaran Malaysia itu menerima naik taraf rekaan terkini, agar ianya terus dapat memberikan saingan yang kuat.
Di pasaran Malaysia pada ketika ini, pasaran motosikal moped boleh dikatakan didominasi oleh dua model terbaharu yang sporty dan berkuasa iaitu Yamaha Y16ZR dan Honda RS-X.
Pada tahun depan, Yamaha Y16ZR ABS 2024 dijangka akan dilancarkan, begitu juga dengan Honda RS-X versi terbaharu, seperti mana model Honda Winner X di pasaran Vietnam. Lebih dari itu pada tahun 2025, Modenas Super Moped pula akan membuat kemunculan rasmi.
Namun untuk para peminat motosikal moped tempatan yang mahukan sebuah model berkuasa dengan enjin 183cc, SYM VF3i 185 2024 New Facelift Model ini pasti akan menjadi pilihan.