Jentera naked Suzuki Katana 2024 telah diumumkan di pasaran USA, yang tersedia dalam edisi terhad dan boleh ditempah mulai tarikh 20hb. Oktober 2023. Kelebihan yang ditawarkannya ialah melalui beberapa peningkatan baharu seperti enjin yang kini lebih berkuasa, dan termasuklah kini dilengkapi Ride-by-Wire electronic throttle bodies dan Bi-directional Quick Shift System baharu.
Suzuki Katana 2024 juga kini dilengkapi Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.) versi terbaharu, yang termasuk tiga pilihan mod Suzuki Drive Mode Selector, lima mod Advanced Traction Control System, di samping sistem Easy Start dan Low RPM Assist yang memudahkan. Turut ditawarkan ialah pakej penyelenggaraan premium KATANA Premium Care dan cenderahati lukisan Katana.
Menurut Suzuki, lukisan Katana bersaiz 24”x24” yang sangat cantik itu dilukis oleh pelukis Jepun, Makoto Endo, yang asalnya disiarkan di dalam majalah Cycle World. Sementara itu, pilihan warna untuk Suzuki Katana 2024 ialah Metallic Matte Stellar Blue yang dipadankan dengan fork dan rim berwarna keemasan. Tempahan untuk model edisi terhad itu berdasarkan siapa cepat dia dapat.