MAJLIS PENYEMPURNAAN PENYERAHAN SUMBANGAN MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI OLEH YANG AMAT BERHORMAT KETUA MENTERI SABAH KEPADA POLIS DIRAJA MALAYSIA KONTINJEN SABAH
Kota Kinabalu, 3 Oktober 2023 ( Selasa ) – Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Bin Dikun telah hadir ke Majlis Penyempurnaan Penyerahan Sumbangan Motosikal Berkuasa Tinggi oleh Kerajaan Negeri Sabah, yang telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, yang berlangsung di Lobi Utama Blok A, Menara Kinabalu.
Terdahulu, Datuk Pesuruhjaya Polis Sabah bersama ketua-ketua jabatan PDRM Kontinjen Sabah telah membuat kunjungan hormat ke atas YAB Ketua Menteri Sabah. Seterusnya acara dimulai dengan kata aluan pengacara majlis, bacaan doa, Pelancaran Perasmian Penyerahan Motosikal Berkuasa Tinggi daripada YAB Ketua Menteri Sabah kepada Ydh Datuk Pesuruhjaya Polis Sabah, penyerahan mock key, sesi bergambar dan diakhiri dengan sidang media oleh Ydh Datuk PJP Sabah.
Sejumlah lapan buah motosikal berkuasa tinggi telah disumbangkan oleh Kerajaan Sabah kepada Polis Kontinjen Sabah untuk penugasan khas. Sumbangan ini mampu mengatasi masalah kekurangan aset terutama motosikal dalam penugasan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi Kontinjen Sabah. Motosikal berkuasa tinggi daripada model Soft Tail Low Rider St Harley Davidson dan dikuasakan dengan enjin jenis V-Twin berkapasiti 1,923 CC itu bernilai RM1.076 juta diagihkan dalam dua fasa sumbangan.
Motosikal ini juga mempunyai kekuatan enjin 168Nm dengan 3,500rpm dan dilengkapi dengan 105hp kuasa kuda bersamaan 5,020rpm dan sering digunakan sebagai pengiring trafik di negara luar seperti Amerika Syarikat. Bagaimanapun ianya pertama kali digunakan untuk penugasan pengiring prestige di Sabah.
Turut hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, YBhg Datuk Seri Safar Untong, Ydh SAC Abdul Rani Alias, Komander Briged Sabah, Ydh SAC Datuk Mohd Salleh bin Yahya, KCK Sabah, Ydh SAC Nik Md Zain bin Nik Omar, KJP Sabah, Ydh SAC Mohd Azhar bin Hamin, KJPPJKK Sabah,Ydh ACP Ahmad Bin Ariffin, Komander PPM W4 Sabah, Ydh ACP Datin Laila binti Hj Sagir, KJLog Sabah, Ydh ACP George bin Abd Rakman, KJIP Sabah, Ydh ACP Khalid bin Saion, KJKA Sabah, Ydh Supt Rosdi bin Md Jusoh, KJSPT Sabah, Wakil Ketua Jabatan PDRM Sabah, Dif-dif jemputan Kerajaan Negeri Sabah dan media.
Sumber artikel diambil sepenuhnya dari laman Facebook Polis Sabah