Kawasaki Ninja ZX-6R 2024 kini rasmi dilancarkan di pasaran Indonesia, dengan harga sebanyak Rp. 359,900,000.00, bersamaan RM 108,511.25 berdasarkan nilai mata wang semasa. Model sports tersebut hanya ditawarkan dalam satu pilihan warna sahaja iaitu Lime Green (KRT Edition).
Sebelum ini, Ninja ZX-6R versi naik taraf terbaharu itu juga dilancarkan di pasaran Eropah dan USA, serta di beberapa pasaran global lain. Selain reka bentuk facelift terbaharu yang lebih sporty, agresif dan menyerlah, enjinnya juga kini lebih bersih dan patuh piawaian emisi terkini bertaraf Euro 5.
Kawasaki Ninja ZX-6R 2024 dilengkapi enjin bersesaran 636cc (liquid-cooled, 4-stroke, in-line four, DOHC, 16 valves) dengan gandingan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Keluaran kuasanya mencapai paras 129PS @ 13,000rpm (with Ram Air) dengan tork 69Nm @ 11,000rpm.
Tangki bahan apinya berkapasiti 17 liter, dan menyumbang kepada berat penuh 198 kg (curb mass). Melengkapkan spesifikasi model berkenaan ialah fork depan SFF-BP 41 mm dan suspensi belakang monoshock Bottom-link Uni-Trak, kedua-duanya boleh dilaraskan untuk pengendalian terbaik.
Sistem breknya merupakan gabungan antara cakera depan berkembar 310 mm (dual semi-floating discs, radial-mount, monobloc, opposed 4-piston) dengan cakera belakang tunggal 220 mm. Sistem brek tersebut dilengkapkan dengan ABS dan KIBS (Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System).
Saiz roda 120/70-R17 dan 180/55-R17, dan tinggi pelana 830 mm. Ciri-ciri menarik lain termasuklah sistem lampu LED sepenuhnya, paparan meter digital 4.3 inci TFT dengan ciri sambungan ke telefon pintar, KTRC (Kawasaki TRaction Control), KQS (Kawasaki Quick Shifter), dan juga Power Modes.