Suzuki Malaysia pada kelmarin rasmi melancarkan model naked terbaharu Suzuki GSX-8S 2023, untuk pasaran tempatan. Model berkenaan tampil dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Pearl Cosmic Blue, Pearl Tech White dan Glass Sparkle Black / Metallic Matt Black.
Harga jualan asasnya pula ditetapkan sebanyak RM 50,800.00 (tidak termasuk kos insuran, cukai jalan dan pendaftaran). Beralih ke bahagian spesifikasi, Suzuki GSX-8S ini dilengkapi enjin 270 darjah ‘crank parallel twin’ bersesaran 776cc (4-stroke, liquid-cooled, DOHC).
Enjin itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan, bersama-sama Suzuki Clutch Assist System (SCAS) dan Bi-directional Quick Shift System. Jumlah kuasa yang dihasilkan mencapai paras maksimum 82.9PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 78Nm @ 6,800rpm.
Melengkapkan spesifikasi jentera ‘streetfighter’ yang serba lincah itu ialah sistem suspensi KYB, sistem brek cakera depan berkembar 310 mm dan cakera belakang tunggal 240 mm dengan ABS, dan tayar radial bersaiz 120/70-17 dan 180/55-17 (Dunlop RoadSport 2).
Sistem elektroniknya pula seperti Suzuki Easy Start System, ride-by-wire, Low RPM Assist, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) dengan mod A (Active), B (Basic) dan C (Comfort), dan Suzuki Traction Control System (STCS) dengan tiga mod serta boleh dinyahaktifkan.
Sistem lampu pada model tersebut semuanya jenis LED, di samping kehadiran panel meter TFT 5.0 inci berwarna. Tinggi tempat duduknya 810 mm, dan tangki bahan api mempunyai kapasiti penuh 14 liter. Berat keseluruhannya berada pada angka 202 kg (kerb weight).
Untuk pasaran Malaysia, Suzuki GSX-8S ini ditawarkan tempoh jaminan pengeluar selama 2 tahun atau 20,000 km, mana-mana yang tiba lebih awal. Dengan pelancarannya, adakah jentera naked yang sporty, lincah dan berprestasi ini bakal menjadi pilihan anda kelak?