Kawasaki Ninja ZX-6R 2024 dilancarkan di pasaran USA

Kawasaki pada 06hb. Jun 2023 rasmi melancarkan model Kawasaki Ninja ZX-6R 2024 untuk pasaran USA, dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Pearl Robotic White/Metallic Graphite Gray, Metallic Flat Spark Black/Ebony dan Lime Green/Ebony (KRT Edition).

Terdapat dua pilihan varian yang ditawarkan untuk model tersebut iaitu Non-ABS dan ABS, masing-masing dengan harga jualan sebanyak $11,299.00 dan $12,299.00. Selain daripada perbezaan sistem brek, spesifikasi lain untuk kedua-dua varian itu adalah sama.

Untuk makluman, pasaran Eropah sebelum ini turut menerima pelancaran Kawasaki Ninja ZX-6R 2024. Selain tampil dengan reka bentuk facelift terbaharu yang kini lebih sporty, enjin pada model tersebut juga kini telah menerima naik taraf dan patuh piawaian emisi terkini.

Ini bermakna Ninja ZX-6R generasi baharu untuk musim 2024 kini boleh dijual di mana-mana pasaran di seluruh dunia tanpa sebarang masalah, berbanding model generasi tahun sebelumnya. Selain itu, ianya juga menawarkan pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri yang menarik.

Antaranya seperti Assist & Slipper Clutch, Kawasaki Quick Shifter (KQS), Power Modes, Kawasaki TRaction Control (KTRC), Integrated Riding Modes, SHOWA Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP), sistem brek ABS, Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), dan panel TFT 4.3 inci dengan sambungan ke telefon pintar.

Di bahagian enjin, ianya bersesaran 636cc (4-stroke, In-Line Four, DOHC, 16-valve, liquid-cooled) dengan padanan transmisi enam kelajuan. Jumlah prestasi dan tork tidak pula diumumkan oleh Kawasaki USA, namun ianya dipercayai sama seperti mana model yang ditawarkan di pasaran Eropah.

Beralih ke bahagian sistem brek, Kawasaki Ninja ZX-6R 2024 ini dilengkapi cakera depan jenis berkembar bersaiz 310 mm (with dual radial-mounted 4-piston monobloc calipers), yang kemudiannya digandingkan dengan cakera belakang tunggal 220 mm (with single-piston caliper).

Untuk peminat jentera sports ini di pasaran tempatan, kemungkinan besar Kawasaki Malaysia akan turut melancarkannya pada masa akan datang. Jika ianya merupakan versi CKD yang dipasang oleh Modenas, tentu harganya menjadi lebih rendah, seperti model Kawasaki Z900 2023 dan Kawasaki Z900 SE 2023.