Model skuter adventure terbaharu Honda ADV350 2023 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Setakat ini antara pasaran luar negara yang telah menerima pelancaran model tersebut secara rasmi ialah pasaran Thailand, Eropah, Taiwan dan Korea Selatan.
Untuk pasaran Malaysia, Honda ADV350 sebelum ini dikatakan telah pun menjalani ujian VTA untuk kelulusan JPJ, sebelum ianya boleh dilancarkan secara rasmi oleh Boon Siew Honda. Anggaran harga jualannya pula dikatakan antara RM 32,000.00 sehingga RM 36,000.00.
Setakat ini, wakil pengedar Honda BigWing di seluruh negara dikatakan telah mengambil tempahan untuk Honda ADV350, yang secara tidak langsung membuktikan bahawa model tersebut benar-benar akan dilancarkan di pasaran Malaysia. Cuma tarikh pelancaran rasminya belum diketahui.
Berkenaan anggaran harganya yang dikatakan agak tinggi iaitu di antara RM 32K sehingga RM 36K, ianya boleh dibandingkan dengan harga asas Honda Forza 250 yang dijual pada harga RM 25,388.00. Oleh kerana Honda ADV350 dilengkapi enjin yang lebih besar dengan pelbagai ciri-ciri terkini, sudah pasti harga jualannya juga menjadi lebih tinggi.
Pada masa yang sama sebagai panduan untuk kita semua, berikut ialah senarai harga untuk Honda ADV350 di pasaran Thailand, Eropah, Taiwan dan Korea Selatan :
- Thailand : THB 181,900.00 (RM 24,159.09)
- Eropah (UK) : £ 5,799.00 (RM 34,504.57)
- Taiwan : NT$308,000.00 (RM 46,370.96)
- Korea Selatan : ₩ 8,410,000 (RM 30,069.61)
Berdasarkan senarai harga tersebut, ternyata pasaran Thailand menawarkan harga yang paling rendah dan sangat berpatutan. Namun sudah pasti pasaran Malaysia tidak akan menerima harga seperti mana di pasaran Thailand. Mungkin pasaran negara kita nanti akan ditawarkan harga sama seperti di pasaran UK.
Antara kelebihan yang ditawarkan oleh Honda ADV350 ini yang menjadikan pembeliannya berbaloi ialah seperti reka bentuknya yang sporty, enjin 330cc yang berkuasa, tangki bahan api 11.7 liter yang sesuai untuk perjalanan jarak jauh, ABS Dual Channel, HSTC, Smart Key, Honda Smartphone Voice Control, ruang barangan seluas 48 liter, dan banyak lagi.
Untuk semua peminat Honda ADV350, usah berfikir panjang dan teruslah membuat tempahan di mana-mana cawangan pengedar Honda BigWing di seluruh negara. Teruskan bersama Arena Motosikal untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai model skuter adventure yang dinanti-nantikan ini.


























































































