Spesifikasi dan jangkaan harga Modenas Ninja ZX-25R 2023

Antara model terbaharu yang akan dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi ialah model sport bike Kawasaki Ninja ZX-25R 2023, menurut sumber daripada Modenas.

Bagaimanapun khusus untuk pasaran Malaysia, model berkenaan akan dikenali dengan nama baharu Modenas Ninja ZX-25R 2023, dengan pengedar rasminya ialah EMOS.

EMOS (Edaran Modenas Sdn. Bhd.) pada bulan Julai 2022 yang lalu telah melancarkan dua buah model terbaharu iaitu Modenas Ninja 250 2022 dan Modenas Z250 2022.

Sama seperti kedua-dua model tersebut, Modenas Ninja ZX-25R 2023 yang bakal tiba pada pertengahan tahun ini akan turut dipasang oleh Modenas sebagai produk CKD.

Pada bulan Oktober 2022 yang lalu, Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 versi Thailand telah dipamerkan di Litar Antarabangsa Sepang, sempena acara MotoGP Malaysia 2022.

Menurut sumber, Modenas Ninja ZX-25R 2023 akan mempunyai spesifikasi yang sama seperti mana versi di pasaran Thailand, termasuklah jumlah keluaran kuasa dan tork.

Sementara itu di pasaran Indonesia, Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 mempunyai jumlah kuasa dan tork yang lebih tinggi, di samping varian Kawasaki Ninja ZX-25RR 2023.

Modenas Ninja ZX-25R 2023 apabila dilancarkan di pasaran Malaysia nanti, ianya akan dilengkapi dengan enjin 249.8cc (liquid-cooled, 4-stroke in-line four, DOHC, 16 valves).

Enjin empat silinder sebaris berprestasi tinggi itu menghasilkan kuasa maksimum 46PS @ 15,500rpm (47PS dengan Ram Air), dengan tork maksimum 22Nm @ 12,500rpm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch, dan turut dilengkapi sistem KQS (Kawasaki Quick Shifter) untuk penukaran gear lebih lancar.

Melengkapkan lagi spesifikasinya yang moden ialah KTRC (Kawasaki Traction Control), Power Mode Selection, Centre Ram Air System dan juga Electronic Throttle Valves.

Spesifikasi menarik seterusnya pada model tersebut ialah fork depan USD 37 mm SFF-BP dan suspensi belakang tunggal Horizontal Back-Link dengan pelarasan prabeban.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera depan 310 mm dengan “radial-mount monobloc caliper”, di samping brek cakera belakang 220 mm dengan sistem ABS Dual Channel.

Modenas Ninja ZX-25R 2023 dilengkapi tangki bahan api 15 liter. Saiz tayar depan dan belakangnya ialah 110/70-R17 dan 150/60-R17, dengan tinggi tempat duduk 785 mm.

Selain itu, ciri-ciri menariknya yang lain termasuklah panel instrumen digital TFT baharu dengan ciri Circuit Mode, serta sambungan ke telefon pintar dan aplikasi RIDEOLOGI.

Sistem lampu depan dan belakang termasuk lampu signal semuanya jenis LED. Sistem ekzos kini tampil dengan gaya rekaan baharu, lebih sporty berbanding sebelumnya.

Berat keseluruhannya 183 kg. Untuk pasaran Malaysia, dua pilihan warna menarik yang dijangka akan ditawarkan ialah KRT Edition dan Metallic Matte Graphene Steel Gray.

Akhirnya yang paling ditunggu-tunggu ialah harga jualan asasnya nanti, adakah berada pada paras yang boleh dikatakan berpatutan, dan mampu dimiliki oleh ramai peminat?

Merujuk kepada model yang ditawarkan di pasaran Thailand, harganya ialah sebanyak THB 299,000, bersamaan nilai RM 38,625.01 berdasarkan kadar mata wang semasa.

Untuk pasaran Malaysia, harganya nanti dijangka menjadi lebih rendah dan berpatutan, disebabkan ianya merupakan model versi CKD yang menggunakan lencana Modenas.

Berapakah harga jualan asasnya nanti? Mungkin dalam anggaran RM 30k sehingga ke RM 35k, atau jika bernasib baik, harga yang ditawarkan nanti mungkin lebih rendah.

Walau berapa pun harga jualannya nanti, ketika ini sudah ramai peminat tempatan yang sudah tidak sabar-sabar menantikan pelancaran rasmi Modenas Ninja ZX-25R 2023.

Faktor utama kenapa model tersebut amat dinanti-nantikan ialah kerana ianya memiliki enjin 250cc empat silinder berprestasi tinggi, di samping bunyi ekzosnya yang garang.

Tambahan pula bakal pemiliknya tidak perlu menaik taraf lesen motosikal dari kelas B2 ke B Full, yang dirasakan agak leceh selain perlu mengeluarkan kos yuran tambahan.

Untuk peminat Modenas Ninja ZX-25R 2023, nantikan pelancarannya yang sebelum ini disebut-sebut bakal berlangsung pada pertengahan tahun ini. Sama-sama kita tunggu.