Honda Forza 750 mulanya diperkenalkan di pasaran Eropah pada bulan Oktober 2020, dan kini telah menerima tiga pilihan warna baharu untuk musim 2023. Ketiga-tiga pilihan warna baharu itu ialah Mat Ballistic Black Metallic, Pearl Glare White dan Iridium Gray Metallic, di samping kekal dengan pilihan warna sebelumnya Mat Jeans Blue Metallic.
Sebagai sebuah model skuter maxi premium yang berprestasi tinggi, Honda Forza 750 dikuasakan enjin 745cc (liquid-cooled 4-stroke 8-valve, SOHC parallel 2-cylinder, PGM-FI) dengan transmisi Dual Clutch Transmission (DCT) enam kelajuan. Keluaran kuasa maksimumnya mencapai 57.8hp @ 6,750rpm dengan tork puncak 69Nm @ 4,750rpm.
Spesifikasi moden dan canggih yang melengkapi Honda Forza 750 ini seperti Throttle By Wire, tiga mod tunggangan lalai RAIN, STANDARD dan SPORT, Honda Selectable Torque Control (HSTC) tiga tahap, panel TFT 5.0 inci dengan Honda Smartphone Voice Control, dan sistem lampu LED penuh bersama-sama Emergency Stop Signal (ESS).
Sistem Smart Key juga merupakan kemudahan tambahan untuk pemilik Honda Forza 750, tanpa perlu lagi menggunakan kunci untuk pencucuhan enjin (ignition), membuka penutup bahan api dan tempat duduk. Ianya juga boleh digunakan untuk mengunci dan membuka Smart Top Box (aksesori pilihan), dan turut mempunyai fungsi ‘answer back’.
Honda Forza 750 hadir dengan ciri-ciri yang praktikal seperti ruang simpanan di bawah tempat duduk seluas 22 liter yang boleh memuatkan helmet bermuka penuh, pengecas USB yang terletak di ruang kompatmen belakang, dan ruang kompatmen sarung tangan yang mudah diakses dan terletak di bahagian dalam fairing di posisi sebelah kanan.
Melengkapkan Honda Forza 750 ialah kerangka keluli berbentuk tiub, fork depan USD 41 mm, suspensi belakang Pro-Link, roda depan dan belakang dalam ukuran 17 dan 15 inci, di samping brek cakera depan berkembar 310 mm (radial-mount four-piston brake calipers) dan brek cakera belakang tunggal 240 mm, dengan sistem ABS dua saluran.
Berat Honda Forza 750 ialah 235 kg (kerb weight), mempunyai ketinggian tempat duduk 790 mm dan tangki bahan api 13.2 liter dengan potensi jarak perjalanan sejauh 370 km. Untuk pasaran Eropah, pakej aksesori yang tersedia untuk model tersebut merangkumi lima pilihan iaitu Comfort Pack, Sports Pack, Style Pack, Travel Pack dan Urban Pack.