Untuk pasaran Taiwan, SYM baru-baru ini dengan rasminya telah melancarkan sebuah model skuter terbaharu yang dikenali dengan nama SYM MMBCU 2022. Menurut SYM, MMB merujuk kepada nama haiwan berbisa iaitu Ular Mamba dari Afrika, manakala C dan U pula masing-masing merujuk kepada perkataan Crossover dan Unique.
Dari segi penampilan keseluruhan, SYM MMBCU ini kelihatan unik dan agak luar biasa berbanding model-model skuter mainstream yang lain. Empat pilihan warna ditawarkan iaitu Green Matte, White Matte, Silver Matte dan Brown Matte. Menariknya ialah empat pilihan warna itu akan berubah warnanya, bergantung kepada perubahan cahaya.
SYM MMBCU dilengkapi fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS dua hala, Traction Control System (TCS), teknologi enjin stop-start, tayar depan dan belakang 120/70-R13 dan 130/70-R13, serta berat 136 kg. Namun maklumat mengenai kapasiti tangki bahan api tidak didedahkan.
Pelbagai ciri-ciri menarik lain yang melengkapi SYM MMBCU ini adalah seperti sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen digital LCD, port pengecas USB, ruang storan depan yang luas untuk mengisi telefon dan sebagainya, dan ruangan di bawah tempat duduk yang boleh mengisi helmet bermuka penuh dan pelbagai barangan yang lain.
SYM MMBCU dikuasakan enjin bersesaran 158cc yang dipadankan dengan transmisi automatik CVT. Jumlah keluaran kuasa enjin dan tork bagaimanapun tidak diumumkan. Untuk pasaran Taiwan, SYM MMBCU 2022 yang unik ini ditawarkan pada harga jualan sebanyak TWD 110,000, bersamaan nilai RM 16,343.70 mengikut kadar semasa.