Model skuter adventure terbaharu Honda ADV160 2022 secara rasminya dilancarkan di pasaran Indonesia pada tarikh 01hb. Julai 2022 yang lalu. Selain tampil dengan rekaan facelift terkini yang lebih sporty dan elegan, serta tampil dengan pelbagai ciri-ciri baharu yang lebih menarik, model tersebut juga dikuasakan enjin baharu bersesaran 156.9cc.
Enjin eSP+ generasi terbaharu dengan empat injap itu menghasilkan kuasa maksimum 16PS @ 8,500rpm, dengan tork 14.7Nm @ 6,500rpm. Selain itu, model berkenaan juga kini dilengkapi dengan teknologi HSTC (Honda Selectable Torque Control), panel meter digital LCD sepenuhnya, sistem Honda Smart Key, USB Charger di dalam kotak konsol, ruang penyimpanan kini seluas 30 liter, dan windscreen boleh laras yang lebih tinggi.
Spesifikasi menarik lain adalah seperti lampu depan LED dengan DRL, lampu belakang LED dengan ESS (Emergency Stop Signal), suspensi belakang dilengkapi Subtank, dan sepasang tayar bersaiz lebar dengan rekaan bunga Semi Dual Purpose. Untuk pasaran Indonesia, Honda ADV160 2022 hadir dalam dua pilihan varian CBS dan ABS, masing-masing berharga Rp. 36,000,000 (RM 10,828.41) dan Rp. 39,250,000 (RM 11,805.97).
Selepas pasaran Indonesia, Honda ADV160 2022 dijangka akan dilancarkan di pasaran negara-negara yang telah pun menerima kehadiran model Honda ADV150, antaranya di pasaran Jepun, Thailand, Filipina, Kemboja, Singapura, Australia, USA, Brazil, dan juga termasuk Malaysia. Persoalannya bilakah ianya akan dilancarkan di pasaran Malaysia?
Melihat kepada pelancaran Honda ADV150 di pasaran Indonesia sebelum ini, model itu dilancarkan pada bulan Julai 2019. Untuk pasaran Malaysia pula, pelancaran rasminya berlangsung pada bulan Februari 2021. Selang masa pelancaran Honda ADV150 untuk pasaran Indonesia dan Malaysia telah mengambil masa sehingga 1 tahun dan 7 bulan.
Jadi adakah ini bermakna Honda ADV160 akan dilancarkan di pasaran Malaysia, paling awal dalam bulan Februari 2024? Sekadar ramalan awal, dijangkakan Honda ADV160 akan dilancarkan di pasaran Malaysia dalam suku pertama tahun 2024. Bagaimanapun, boleh jadi pelancarannya akan berlangsung lebih lewat daripada apa yang diramalkan.