Modenas melalui laman Facebook rasmi mereka kelmarin telah mengumumkan bahawa Kawasaki Malaysia kini sudah pun mempunyai laman Facebook rasmi baharu. Namun disebabkan Facebook page itu masih baru, tidak banyak maklumat atau status terkini yang dipaparkan, kecuali gambaran depan sebuah model sports keluaran Kawasaki.
Adakah model itu antara yang bakal dilancarkan oleh pengedar eksklusif Kawasaki iaitu EMOS (Edaran Modenas Sdn. Bhd) tidak lama lagi? Berdasarkan maklumat terdahulu, EMOS akan memperkenalkan barisan model-model terbaharu Kawasaki dengan enjin di bawah 700cc untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan yang lebih mampu milik.
Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada model-model Kawasaki edaran EMOS itu akan dijenamakan semula kepada jenama Modenas, seperti mana model-model Bajaj buatan India, atau akan kekal dengan jenama Kawasaki. Untuk penetapan harga yang lebih rendah, sudah pasti ianya perlu dipasang dan dijenamakan semula oleh Modenas.
Pada masa yang sama, peminat motosikal tempatan telah lama mengharapkan model sports 250cc empat silinder Kawasaki Ninja ZX-25R akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia. Mungkin jika ianya dipasang secara CKD dan diberikan nama Modenas Ninja ZX-25R, harganya akan berada di bawah paras RM 30k yang pastinya sangat berbaloi.
Jadi untuk lebih banyak maklumat terkini daripada EMOS dan Kawasaki Malaysia, anda perlu like dan follow laman Facebook rasmi Kawasaki Malaysia. Diharapkan EMOS dan Kawasaki Malaysia akan menyiarkan lebih banyak berita-berita menarik dan juga terkini melalui laman Facebook rasmi baharu itu, bagi menghargai semua peminat setianya.