CFMOTO 450SR bakal tiba di pasaran Malaysia pada akhir 2022, harga di pasaran China bersamaan RM 21,203.22

CFMOTO Branch Cheras KL telah mengumumkan di dalam laman Facebook mereka, bahawa model sportbike terbaharu CFMOTO 450SR 2022 bakal tiba dengan rasminya di pasaran Malaysia pada akhir tahun 2022 ini. Jika benar seperti mana yang dikatakan itu, nampaknya sebuah lagi model menarik bakal dilancarkan di pasaran negara kita.

Sementara itu di pasaran China, harga jualan untuk model berkenaan telah diumumkan pada tarikh 06hb. April 2022, iaitu sebanyak CNY 31,980.00, bersamaan RM 21,203.22 sahaja. Harga itu boleh dikatakan sangat berpatutan, dan untuk pasaran Malaysia nanti, adakah harga asas yang akan ditawarkan adalah di bawah RM 25k? Sangat berbaloi.

Dari segi reka bentuk, CFMOTO 450SR tampil begitu sporty dan agresif, dengan enjin bersesaran 450cc yang menghamburkan kuasa maksimum 49.6hp dan tork maksimum 39Nm. Melalui maklumat rasmi yang didedahkan, model itu mampu mencapai kelajuan maksimum 190 km/j +. Berat badannya pula dikatakan ringan bagaikan model 250cc.

Spesifikasi menariknya yang lain termasuklah sistem lampu LED, paparan panel meter digital, fork depan upside-down, brek cakera Brembo, tayar berprestasi tinggi, dan juga winglet untuk prestasi aerodinamik yang lebih cemerlang. Sebagai maklumat tambahan, anda boleh saksikan video promosi @ trailernya yang telah pun dipaparkan di sini.