CFMOTO 250SR Track Edition 2022 kini diperkenalkan dengan carbon winglet dan single arm

Untuk pasaran China, CFMOTO baru-baru ini telah memperkenalkan model sport bike full fairing versi terbaharu keluarannya iaitu CFMOTO 250SR Track Edition 2022. Versi terbaharu itu kini dilengkapi dua naik taraf signifikan berbanding generasi sebelumnya, berupa kelengkapan carbon winglet dan single arm di bahagian tayar belakangnya.

CFMOTO 250SR Track Edition 2022 ini seterusnya didatangkan dalam dua pilihan skim warna yang sporty dan agresif, manakala harga jualannya untuk pasaran China adalah sebanyak CNY 21,980.00, bersamaan nilai RM 14,512.25. Di bahagian enjin, model itu masih kekal dikuasakan enjin 249cc (4 stroke, single cylinder, liquid cooled, DOHC).

Menurut CFMOTO, enjin yang dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan dan slipper clutch CF-SC itu kini telah ditala semula, dan menghamburkan kuasa maksimum 28.83hp @ 9,750rpm dengan tork maksimum 22.5Nm @ 7,500rpm. Dilengkapi kapasiti tangki bahan api 12 liter, berat keseluruhan terkini model sport bike itu hanya 157 kg.

Pelbagai spesifikasi dan ciri-ciri menarik lain yang melengkapi CFMOTO 250SR Track Edition 2022 ini antaranya ialah fork depan upside down berwarna emas dan suspensi belakang mono buatan KYB, sistem brek cakera depan 292 mm dan belakang 240 mm dengan ABS, dan paparan digital TFT 5.0 inci dengan sistem T-BOX generasi kedua.

Selain itu, model tersebut turut dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya, tayar depan dan belakang masing-masing berukuran 110/70-R17 dan 140/60-R17, serta ketinggian tempat duduk 780 mm. Tidak dilupakan untuk tahap tunggangan yang lebih sporty dan pilihan lebih ekonomi ialah ianya turut dilengkapi dua mod tunggangan Sport dan Eco.

Di pasaran Malaysia, CFMOTO 250SR telah diperkenalkan dengan rasminya pada Julai 2020 yang lalu, dalam dua pilihan varian SE dan LE. Harga jualan asas untuk dua versi itu sebelum ini adalah sebanyak RM 15,800.00 dan RM 17,800.00. Selepas ini, adakah versi terbaharu Track Edition 2022 ini akan turut dilancarkan di pasaran negara kita?