Boon Siew Honda pada kelmarin secara rasminya mengumumkan harga terkini untuk model-model motosikal dan skuter edarannya di pasaran Malaysia, berkuatkuasa dari tarikh 11hb. Mac 2022. Kesemua senarai harga yang dinyatakan itu ialah harga jualan asas yang disyorkan, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.
Melalui senarai harga yang diumumkan itu, ianya turut melibatkan model moped Honda RS-X, yang kini dijual pada harga sebanyak RM 9,550.00. Harga asal model berkenaan sebelum ini ialah RM 8,688.00, bermakna harganya kini telah meningkat sebanyak RM 862.00. Peningkatan harga tersebut sememangnya telah dijangkakan sebelum ini.
Bagi model Honda RS150R 2022 yang dilancarkan baru-baru ini, harga jualan asasnya kini ialah sebanyak RM 8,299.00. Harga tersebut jauh berbeza dengan harga jualan On The Road (OTR) pada tahun lepas, yang boleh didapati dalam lingkungan RM 7,500.00 sahaja, sewaktu model itu masih menerima pengecualian duti eksais 100 peratus.
Untuk senarai harga bagi model-model lain termasuk model-model berkuasa tinggi dan bertaraf CBU, anda boleh melihat senarai harganya dalam paparan galeri di bawah.