Model skuter Honda Dunk 2022 baru-baru ini diperkenalkan di pasaran domestik Jepun, kini tampil dengan tiga skim pilihan warna baharu yang dikemaskini semula. Ketiga-tiga pilihan warna baharu Matte Jeans Blue Metallic, Pearl Deep Mud Gray dan Matt Ballistic Black Metallic itu turut didatangkan dengan pelana dan rim roda berwarna hitam.
Honda Dunk mempunyai kapasiti enjin sama seperti model skuter Honda Giorno 2022, iaitu bersesaran 49cc (water-cooled, 4-stroke, OHC, single cylinder) dengan gandingan transmisi automatik V-matic (continuously variable transmission). Janaan kuasa enjin itu mencapai paras 4.5PS @ 8,000rpm, dengan tork maksimum 4.1Nm @ 6,000rpm.
Model skuter dengan berat hanya 81 kg itu kemudiannya memiliki kapasiti tangki bahan api 4.5 liter, tinggi pelana 730 mm, tayar depan dan belakang berukuran masing-masing 80/100-10 dan 90/90-10, fork depan teleskopik, suspensi belakang tunggal di sebelah kiri, brek cakera depan, brek dram belakang, dan ruang lantai kaki rata yang praktikal.
Antara kelebihan lain yang ditawarkan oleh Honda Dunk 2022 ini termasuklah enjin eSP yang canggih dengan sistem Idling Stop yang ekonomi, sistem brek CBS (Combi-Brake System), port pengecas telefon bimbit, gelang penyangkut beg, ruang barangan seluas 23 liter di bawah pelana, panel meter dengan paparan jam dan lampu belakang LED.
Untuk pasaran domestik Jepun, Honda Dunk 2022 ditawarkan dengan harga sebanyak 229,900 Yen, bersamaan RM 8,359.94 berdasarkan kadar tukaran mata wang semasa. Sasaran jualan tahunannya pula ditetapkan oleh Honda pada angka 3,400 unit setahun. Model tersebut telah pun berada di pasaran Jepun mulai tarikh 20hb. Januari 2022.