Pada awal Oktober 2021 baru-baru ini, Suzuki dengan rasminya telah memperkenalkan sebuah model terbaharu dalam versi istimewa iaitu Suzuki GSX-R1000R Phantom 2021. Untuk pasaran UK, harga jualan yang ditetapkan untuk model tersebut adalah sebanyak £17,499.00, bersamaan nilai RM 100,465.51 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.
Model tersebut tampil dengan satu pilihan warna tunggal Metallic Matt Black No.2 (YKV). Sama seperti model ikonik Suzuki GSX-R1000 K6 Phantom yang dikeluarkan pada tahun 2006, GSX-R1000R Phantom terbaharu ini turut dilengkapi silencer ekzos Yoshimura R11 dengan pelindung haba, selain pilihan aksesori asli Suzuki (Suzuki Genuine Accessories).
Barisan aksesori asli Suzuki yang melengkapi GSX-R1000R Phantom itu termasuklah ‘smoked double bubble screen’, ‘a seat tail cowl’, ‘tank pad’, ‘fuel cap trim’ dan ‘brake and clutch lever protectors’. Gabungan kesemuanya itu telah menjadikan penampilan model itu kelihatan unik, menyerlah dan tersendiri di dalam kalangan barisan GSX-R yang lain.
Selain itu, penggunaan skim warna emas pada rim roda dan fork depan Showa Balance Free turut membangkitkan lagi penampilan keseluruhan model berkenaan. Beralih ke sistem penjana kuasanya, Suzuki GSX-R1000R Phantom 2021 dilengkapi enjin 1,000cc dengan kuasa maksimum 202PS @ 13,200rpm dan jumlah tork 117.60Nm @ 10,800rpm.