CFMoto kini mengorak langkah lebih jauh ke hadapan, apabila memperkenalkan sebuah model konsep terbaharu yang diberi nama CFMoto ‘SR Vision Concept’. Model konsep itu tampil dengan gaya rekaan sebuah jentera sport bike full fairing yang cukup sporty dan luar biasa, dengan kelengkapan pelbagai komponen berprestasi tinggi bertaraf premium.
Menurut CFMoto, model konsep tersebut direka oleh pasukan R&D yang berpengkalan di benua Eropah, dengan mengekalkan gaya bahasa rekaan CFMoto sebelum ini. Setakat ini tidak banyak maklumat yang didedahkan mengenai model berkenaan, namun sedikit sebanyak ianya dapat diketahui melalui paparan awal gambar-gambar yang disiarkan.
Antaranya ialah CFMoto ‘SR Vision Concept’ dilengkapi sistem suspensi Öhlins, sistem brek Brembo, lengan ayun jenis sebelah (single-sided swingarm), sistem ekzos daripada SC-Project, sepasang tayar Pirelli Diablo Supercorsa, dan juga ciri baharu winglet yang sebelum ini buat pertama kalinya diperkenalkan untuk jentera perlumbaan dalam MotoGP.
CFMoto ‘SR Vision Concept’ ini tentunya akan dilengkapi enjin dalam kelas bawah 500cc, dan tidak mustahil ianya akan turut mempunyai versi 250cc, sebagai penerus legasi untuk model CFMoto 250SR. Dengan gaya dan reka bentuk sporty seperti ini dan tahap prestasi yang lebih berkuasa, tidak mustahil ianya akan menarik lebih ramai peminat selepas ini.