Suzuki di pasaran Vietnam pada tarikh 22 Jun 2021 baru-baru ini secara rasminya telah memperkenalkan Suzuki GSX-R150 2021. Walau pun masih mengekalkan spesifikasi teknikal yang sama seperti mana pada model tahun sebelumnya, model tersebut kini tampil dengan kemaskini warna baharu yang lebih sporty iaitu merah, hitam dan biru.
Untuk pasaran Vietnam, Suzuki GSX-R150 2021 boleh dimiliki dengan harga sebanyak VND 74,990,000.00, bersamaan RM 13,538.82. Dikuasakan enjin bersesaran 147.3cc dengan teknologi DOHC, 4-valve dan transmisi enam kelajuan, kuasa maksimum model tersebut mencapai 19.17PS @ 10,500rpm dengan tork maksimum 14Nm @ 9,000rpm.
Selain mempunyai reka bentuk yang sporty dan agresif, Suzuki GSX-R150 turut hadir dengan pelbagai ciri-ciri menarik seperti tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 11 liter, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, lampu depan LED, meter digital LCD dan sistem penghidup tanpa kunci.
Suzuki GSX-R150 juga dilengkapi teknologi penghidup enjin dengan hanya satu butang sentuhan sahaja, tempat duduk bergaya perlumbaan dengan ketinggian hanya 785 mm dan sistem ekzos yang sporty. Untuk pasaran Malaysia, pernah dikhabarkan bahawa model ini akan turut dilancarkan, namun sehingga kini masih belum menjadi kenyataan.