Honda CB150R Streetfire 2021 serba baharu dilancarkan di pasaran Indonesia, harga bermula dari RM 8,565.27 OTR

PT Astra Honda Motor (AHM) baru saja melancarkan model Honda CB150R Streetfire 2021 serba baharu untuk pasaran Indonesia. Model tersebut kini tampil lebih sporty dan lebih gagah berbanding model generasi sebelumnya, di samping hadir dengan ciri-ciri baharu yang meningkatkan lagi prestasi dan keseronokan ketika menunggangnya.

Menurut AHM, antara ciri-ciri baharu yang melengkapi Honda CB150R Streetfire 2021 serba baharu ini termasuklah rekaan kokpit dan tapered handlebar baharu, panel meter baharu bercirikan digital sepenuhnya, tangki bahan api rekaan baharu yang lebih besar, front shroud baharu dan juga fork depan jenis terbalik untuk tunggangan lebih agresif.

Model naked tersebut didatangkan dalam dua pilihan varian iaitu Standard dan Special Edition (SE). Bagi varian SE, ianya menerima ciri tambahan berupa undercowl rekaan baharu untuk penampilan yang lebih sporty. Pilihan warna yang ditawarkan ialah Stinger Red Black dan Macho Black untuk varian Standard, manakala varian SE didatangkan tiga pilihan warna iaitu Fury Matte Red, Raptor Matte Black dan Armored Matte Gray.

Di bahagian enjin, Honda CB150R Streetfire 2021 serba baharu masih dikuasakan enjin bersesaran 149.6cc (4-stroke, DOHC, 4-valve, liquid-cooled, PGM-FI) yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin bertaraf Euro 3 itu mencapai 16.9PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 13.8Nm @ 7,000rpm. Kelajuan maksimum model naked itu pula dikatakan mencapai sehingga 125 km/j.

Antara ciri-ciri menarik lain yang turut melengkapi Honda CB150R Streetfire 2021 serba baharu ini ialah kerangka trellis yang kukuh dan seimbang, tayar depan dan belakang yang lebar untuk daya cengkaman maksimum, sistem brek cakera di bahagian depan dan belakang, kapasiti tangki bahan api 12 liter dan sistem lampu LED sepenuhnya.

Untuk pasaran Indonesia, Honda CB150R Streetfire 2021 ditawarkan pada harga jualan bermula dari Rp. 29,700,000 OTR (RM 8,565.27) untuk varian Standard, sementara untuk varian SE, harganya ialah Rp. 30,700,000 OTR (RM 8,853.66). Sangat menarik sekiranya Boon Siew Honda akan turut melancarkan model ini untuk pasaran Malaysia.