Honda CB150 Verza 2021 dilancarkan di pasaran Indonesia, terima kemaskini skim warna baharu

PT Astra Honda Motor (AHM) baru saja melancarkan model Honda CB150 Verza 2021 untuk pasaran Indonesia, dalam tiga pilihan skim warna terbaharu yang kelihatan lebih sporty dan gagah. Honda CB150 Verza merupakan sebuah model naked bergaya klasik dan moden, dilengkapi lampu depan jenis bulat dengan pelbagai teknologi yang terkini.

Tiga skim pilihan warna terbaharu yang diperkenalkan untuk model tersebut ialah Bold Red dan Macho Matte Black untuk versi Casting Wheel, diikuti Masculine Black untuk versi Spoke Wheel. Harga jualan yang ditawarkan ialah Rp 20,945,000 (RM 6,044.76) untuk versi Casting Wheel dan Rp 20,290,000 (RM 5,855.73) untuk versi Spoke Wheel.

Honda CB150 Verza dikuasakan enjin bersesaran 150cc SOHC bertaraf Euro 3 dengan teknologi PGM-FI, dan dipadankan transmisi lima kelajuan. Jumlah kuasanya mencapai 13.04PS @ 8,500rpm dengan tork maksimum 12.73Nm @ 6,000rpm. Enjin yang cekap itu menawarkan tahap penggunaan bahan api sehingga 43.5 km/l (metode ECE R40).

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model tersebut termasuklah panel meter digital dengan gaya rekaan moden, sistem kunci dengan ciri keselamatan, rekaan ‘cap’ tangki bahan api yang gagah, serta tampil dengan rekaan ‘shroud’ yang lebih maskulin. Posisi tunggangan yang tegak pula menjadikan model itu sesuai untuk tunggangan harian.