Speedway Motorsports Centre memperkenalkan projek terbaharu Honda Winner X Idemitsu SBK Style

Speedway motorsports Centre yang berpengkalan di Simpang Ampat, Pulau Pinang baru-baru ini mempersembahkan hasil kerja tangan mereka yang terbaharu iaitu Project Honda Winner X Idemitsu SBK Style. Tampil sporty dan ekstrem, ianya mungkin boleh menjadi pengubat lara sebelum pelancaran rasmi Honda Winner X 2021 di Malaysia.

Apa yang dapat dilihat di sini ialah projek Honda Winner X Idemitsu ini boleh dikatakan mengambil inspirasi daripada jentera milik pasukan LCR Honda Idemitsu Team yang bersaing dalam perlumbaan MotoGP. Menjadikannya lebih menarik ialah Honda Winner X ini menggunakan konsep tanpa kepala, yang kelihatan lebih ringkas dan praktikal.

Spesifikasi teknikal yang melengkapinya sungguh luar biasa, melibatkan semua aspek seperti sistem suspensi dan brek, ekzos, tayar, tempat pemijak, handlebar, lengan ayun belakang, termasuklah penampilan terbaharu tempat duduk dan kemasan melibatkan carbon fiber. Prestasi enjinnya juga pastinya telah dipertingkatkan ke tahap maksimum.

Untuk anda yang mahu melihat proses pembangunan Honda Winner X ini, Speedway motorsports Centre telah menyiarkannya di dalam sebuah video yang anda boleh lihat melalui pautan ini : Project Honda Winner X Idemitsu SBK Style. Tidak pasti berapa kos sebenar, namun menurut sumber, ianya berada dalam anggaran RM 125k sahaja.