Spyshot model skuter terbaharu di pasaran Malaysia, dijangka bakal bersaing dengan model Honda ADV150

Di pasaran Malaysia pada ketika ini, Boon Siew Honda telah menawarkan model skuter terbaharu Honda ADV150 2021 yang berkonsepkan kembara. Setakat ini berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, model skuter berkenaan telah berjaya menarik perhatian daripada ramai peminat tempatan, dan semakin ramai yang telah pun memilikinya.

Namun begitu Honda ADV150 dijangka bakal mempunyai saingannya yang tersendiri tidak lama lagi, dengan pelancaran sebuah model skuter terbaharu dalam kelas 150cc, juga berkonsepkan kembara. Model skuter terbaharu tersebut besar kemungkinan ialah Lifan KPV150 2021, yang dilancarkan di pasaran China pada penghujung tahun lepas.

Buktinya ialah melalui paparan foto spyshot yang dijangkakan sebagai model tersebut, yang telah berjaya dirakamkan di atas lebuhraya utara-selatan baru-baru ini. Jika benar, ini bermakna model skuter kembara Lifan KPV150 ini sedang giat diuji di atas jalan raya Malaysia, menjelang pelancarannya yang bakal berlangsung pada masa akan datang.

Apa yang masih menjadi misteri setakat ini ialah syarikat pengeluar motosikal manakah yang akan melancarkan model tersebut? Di pasaran China, Lifan KPV150 ditawarkan pada harga sekitar RM 8k sehingga RM 9.5k, dan dikuasakan enjin bersesaran 149.3cc dengan kuasa maksimum 12hp (9.0kW) @ 8,500rpm dan tork 11.8Nm @ 5,500rpm.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapinya ialah tangki bahan api 11 liter, sistem Auto Start-Stop, panel meter digital LCD, dua port pengecasan iaitu USB dan 12V, sistem lampu LED, windshield dengan ciri boleh dilaraskan dan pilihan sistem brek ABS. Buat masa ini belum ada maklumat bilakah ianya akan dilancarkan di pasaran Malaysia.