Honda Grom 2022 dilancarkan di pasaran USA, harga bermula dari $3,399.00

Pada tarikh 03hb. Mac 2021 baru-baru ini, Honda secara rasminya memperkenalkan Honda Grom 2022 untuk pasaran USA. Model kompak tersebut didatangkan dalam tiga varian iaitu Grom dengan pilihan warna Queen Bee Yellow dan Matte Black Metallic, Grom SP dengan warna Pearl White dan Grom ABS dengan warna Candy Blue.

Honda Grom SP mempunyai penampilan yang lebih menarik, apabila dipadankan grafik yang bergaya dengan penyerap hentak belakang berwarna kuning, di samping warna emas di bahagian roda, kaliper brek dan fork depan. Berikut ialah senarai harga jualan yang ditawarkan untuk Honda Grom 2022 di pasaran USA bagi ketiga-tiga varian :

  • 2022 Honda Grom : $3,399.00 (RM 13,828.83)
  • 2022 Honda Grom SP : $3,499.00 (RM 14,235.68)
  • 2022 Honda Grom ABS : $3,599.00 (RM 14,642.53)

Berbanding generasi sebelumnya, Honda Grom serba baharu kini hadir dengan rekaan terkini yang lebih menarik dan sporty, serta lebih mesra pengubahsuaian yang selama ini sememangnya sangat popular dikalangan pemilik Grom. Naik taraf enjin pula turut melibatkan penggunaan kotak gear lima kelajuan untuk tunggangan yang lebih selesa.

Perubahan lain turut merangkumi panel meter digital yang kini mempunyai penunjuk posisi gear, bersama-sama paparan meter kelajuan, takometer (penunjuk RPM), meter perjalanan berkembar, tolok bahan api dan juga jam. Lebih praktikal ialah tangki bahan api model kompak tersebut kini mempunyai kapasiti yang lebih besar iaitu 6.0 liter.

Di bahagian suspensi, ianya kekal tidak berubah dengan penggunaan fork depan jenis terbalik 31 mm dan suspensi belakang monoshock. Sistem brek menampilkan kaliper depan dua piston dengan cakera 220 mm, manakala di bahagian belakangnya ialah kaliper piston tunggal dengan cakera 190 mm. Rim roda masih dengan ukuran 12 inci.

Sistem brek ABS yang diperbaharui mempunyai keistimewaan yang tersendiri apabila  beroperasi melalui IMU (inertial measurement unit), yang memberikan agihan operasi pembrekan depan ke belakang yang lebih tepat. Lampu depan LED kini tampil dengan rekaan baharu dan digandingkan bersama-sama lampu belakang yang juga LED.

Kapasiti enjin kekal 125cc (2-valve air-cooled single cylinder) dengan teknologi PGM-FI, yang menjana 9.65hp @ 7,250rpm dengan tork puncak 10.5Nm @ 5,500rpm. Tempat duduk rata mempunyai ketinggian serendah hanya 762 mm (30 inci), sementara berat berada pada tahap hanya 103 kg untuk varian non-ABS dan 105 kg untuk varian ABS.