Awas pemilik motosikal dengan ekzos bising, anda boleh dikenakan denda RM 2,000.00 atau penjara 6 bulan

Pada beberapa hari yang lepas, peminat motosikal tempatan dikejutkan dengan laporan yang telah disiarkan oleh beberapa akhbar-akhbar nasional mengenai isu panas ekzos motosikal yang bising. Pemilik motosikal dengan ekzos yang bising dikhabarkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 2,000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias yang dilaporkan berkata, di bawah Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959), setiap ekzos (penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah pada setiap masa diselenggarakan supaya berada dalam keadaan yang baik.

Menurut beliau lagi, ia juga perlu dipastikan tidak diubah suai sehingga menyebabkan bunyi bising. “Mana-mana orang yang membuat pengubahsuaian sedemikian adalah melakukan satu kesalahan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih enam bulan penjara,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar tempatan Sinar Harian baru-baru ini.

Selain itu, Azisman berkata, di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, pihak polis diberikan kuasa untuk menyita motosikal tersebut dengan tujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya lagi kesalahan tersebut. Jelasnya, pihak polis boleh menahan motosikal tersebut sehingga pemilik motosikal mengambil langkah-langkah bagi menjamin kesalahan tersebut tidak akan berulang lagi.

Katanya, beliau percaya penggunaan ekzos bising ini menjadi trend semasa golongan muda kerana dikatakan dapat meningkatkan kelajuan motosikal dan juga mencantikkan fizikal motosikal tersebut. “Pihak JSPT sentiasa mengadakan Operasi Bersepadu dengan jabatan dan agensi yang lain termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS). Dalam operasi itu, motosikal akan diukur paras bunyi ekzos yang dibenarkan. Sekiranya paras bunyi melebihi daripada yang ditetapkan, JAS akan mengeluarkan kompaun saman ke atas pemilik motosikal,”.

Justeru, pihaknya mengingatkan semua pemilik kenderaan, bukan sahaja pemilik motosikal tetapi juga pemilik kenderaan bermotor yang lain agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang melibatkan pengubahsuaian kenderaan bermotor. “Sebarang pengubahsuaian yang ingin dilakukan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

Jadi jelas di sini pengubahsuaian ekzos motosikal sehingga mengeluarkan bunyi bising bukanlah isu baharu, cuma ianya melibatkan aspek penguatkuasaan sahaja. Jika anda berani dan bernasib baik, mungkin tiada masalah untuk terus menggunakan ekzos jenis bising. Namun jika tidak bernasib baik, anda mungkin dikenakan denda atau penjara.

Secara umumnya tidak salah untuk mencantikkan motosikal masing-masing dengan menggunakan ekzos aftermarket atau mengubahsuai ekzos sedia ada, namun perlu dipastikan bunyi yang dikeluarkan tidak terlalu bising dan mengganggu ketenteraman awam. Biar nampak cantik asalkan bunyinya masih mematuhi undang-undang negara.

Sumber berita : sinarharian.com.my

Sumber gambar : yoshimura-rd.com