KTM 125 Duke 2021 kini di pasaran Eropah, tampil dengan dua pilihan skim warna baharu

KTM 125 Duke 2021 kini dengan rasminya dilancarkan untuk pasaran Eropah, dalam dua pilihan skim warna baharu yang lebih sporty dan menyerlah. Model terkecil dalam siri KTM Duke itu dilengkapi enjin satu silinder yang bersesaran 124.7cc, dengan sistem suntikan bahan api elektronik yang canggih dan sistem penyejukan jenis cecair.

Enjin tersebut yang kini patuh piawaian emisi Euro 5 telah menjana prestasi yang cukup memuaskan pada kadar maksimum 15hp dengan tork maksimum 12Nm. Janaan kuasa yang terhasil kemudiannya disalurkan ke permukaan jalan raya menggunakan sistem transmisi enam kelajuan, dan melengkapkan gaya tunggangannya yang serba pantas.

Dengan tangki petrol yang mempunyai kapasiti penuh 13.4 liter, KTM 125 Duke 2021 dikatakan mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 300 km. Pengendaliannya yang lincah disempurnakan oleh fork depan USD WP Apex 43 mm, bersama-sama suspensi belakang monoshock WP yang hadir dengan ciri boleh laras (adjustable preload).

Melengkapkan lagi spesifikasi KTM 125 Duke 2021 ialah sistem brek BYBRE dengan cakera depan 300 mm (four-piston radial fixed calliper) dan cakera belakang 230 mm (single-piston floating calliper). Sistem brek yang mantap itu kemudiannya dilengkapi teknologi ABS (Bosch 9.1 MB Two Channel ABS) dengan ciri Supermoto ABS.

Seterusnya tunggangan yang stabil pada setiap situasi disumbangkan oleh tayar depan dan belakang premium dengan ukuran lebar 110 mm dan 150 mm, yang kemudiannya membalut rim aloi 17 inci yang ringan. Ketinggian tempat duduk berada pada paras 830 mm, manakala berat kering jentera naked bergaya agresif itu adalah sekitar 139 kg.

KTM 125 Duke 2021 turut dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya yang menampilkan rekaan lampu depan (headlight) berkembar, sama seperti model KTM 390 Duke 2021. Selain itu ianya juga dilengkapi panel meter digital TFT dengan paparan pelbagai info. Untuk pasaran Eropah, model cilik dan lincah ini khusus untuk pemegang lesen A1.