Honda Wave 110i 2021 dilancarkan di pasaran Thailand, terima peningkatan terkini yang lebih signifikan

Honda kelmarin secara rasminya melancarkan model kapcai terbaharu Honda Wave 110i 2021 untuk pasaran Thailand. Berbanding model sebelumnya, model terbaharu ini telah menerima beberapa peningkatan terkini yang lebih signifikan dan praktikal.

Antaranya ialah dilengkapi enjin baharu Honda Smart Engine yang lebih ekonomi, lebih berprestasi dan lebih pantas, serta lebih berdaya tahan. Enjin yang bersesaran 109.5cc (4-stroke, SOHC, Fuel Injection System PGM-FI, Air-cooled) itu dipadankan kotak gear empat kelajuan dan menawarkan tahap ekonomi pada kadar sehingga 76.9km/liter.

Kerangka Honda Wave 110i 2021 juga telah direka semula untuk menempatkan tangki petrol yang lebih besar sehingga 5.0 liter berbanding 3.7 liter untuk model sebelumnya. Ruang simpanan barang-barang peribadi di bawah tempat duduk juga kini lebih luas, meningkat kepada 10 liter berbanding model sebelumnya dengan keluasan 7.4 liter.

Selain itu, panel meter juga telah menerima kemaskini baharu yang lebih menarik dan kini digabungkan dengan teknologi paparan digital LCD. Ianya memberikan informasi yang lengkap seperti posisi gear, kuantiti bahan api dan jarak perjalanan keseluruhan. Seterusnya lampu depan LED yang terang menambahkan keyakinan tunggangan.

Sistem suspensi pula terdiri daripada fork depan jenis teleskopik, yang digandingkan bersama-sama penyerap hentak belakang konvensional jenis berkembar. Tayar depan dan belakang masing-masing berukuran 70/90-17M / C 38P dan 80/90-17M / C 50P.

Untuk pasaran Thailand, Honda Wave 110i 2021 boleh didapati dalam empat pilihan varian, dengan perbezaannya melibatkan spesifikasi rim aloi atau rim lidi, sistem brek cakera atau sistem brek dram dan sistem penghidup tendang dengan elektrik atau sistem penghidup tendang sahaja. Pilihan warna yang ditawarkan juga pelbagai.