Modenas Karisma 125 di pasaran Malaysia, skuter keluaran tempatan yang mampu milik dan praktikal

Modenas Karisma 125 merupakan sebuah model skuter keluaran syarikat pengeluar motosikal nasional Modenas (Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd.) yang masih ditawarkan sehingga kini. Mula diperkenalkan sejak tahun 2003, generasi paling terkini Modenas Karisma 125 kemudiannya dilancarkan pada bulan November 2016.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi setakat ini, Modenas Karisma 125 model tahun 2017 itu masih lagi mengekalkan dua pilihan warna sejak ianya dilancarkan dahulu iaitu Merah dan Putih. Sehingga sampai ke tahun 2020, skuter tersebut juga didapati tidak mengalami sebarang perubahan dari aspek spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan.

Modenas Karisma 125 dikuasakan enjin bersesaran 124.6cc (4-lejang, silinder tunggal, sistem penyejukan udara, 2-injap) yang menghasilkan kuasa maksimum 9.5PS (7kW) @ 7,500rpm dengan tork maksimum 9.0Nm @ 5,000rpm. Enjin yang dilengkapi sistem penyampaian bahan api karburator itu seterusnya dipadankan transmisi automatik CVT.

Untuk tunggangan yang selesa dan terkawal, skuter dengan berat bersih 113 kg itu dilengkapi fork jenis teleskopik di bahagian depan dan digandingkan dengan penyerap hentak belakang jenis tunggal, yang terpasang di sebelah kiri lengan ayun. Penyerap hentak di bahagian belakang itu hadir dengan ciri pelarasan sehingga lima tahap.

Sistem pemberhentian yang diselamat ditugaskan kepada brek depan jenis cakera dengan diameter 220 mm, manakala di bahagian belakangnya ialah sistem brek jenis dram dengan diameter 130 mm. Modenas Karisma 125 berdiri di atas sepasang tayar yang masing-masing hadir dalam ukuran 80/90-R14 (depan) dan 90/90-R14 (belakang).

Modenas Karisma 125 juga dilengkapi lampu hadapan berkembar yang terang, lampu belakang LED, tempat duduk yang luas dan selesa dan panel kaki yang luas dan tinggi. Lebih praktikal ialah ianya juga dilengkapi soket pengecas USB, cangkok penyangkut dan ruangan simpanan barangan peribadi yang luas di bawah tempat duduknya.

Harga yang ditawarkan untuk skuter Modenas Karisma 125 ketika ini adalah dalam lingkungan RM 5,000.00 (sumber dari Mudah.my), sementara tempoh jaminannya ialah selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan. Ianya sesuai untuk lelaki dan wanita, termasuk golongan pelajar dan kegunaan untuk pergi dan balik dari tempat kerja.


Artikel Popular Minggu Ini :

Dayang ADV150 diilhamkan daripada model Honda ADV150, dilengkapi enjin lebih berkuasa dan kamera depan belakang

Pelancaran rasmi Honda ADV150 2021 dijangka pada bulan Februari depan, harga asas sekitar RM 14k

Penampilan baharu Yamaha Exciter 155 VVA 2021 apabila dipasangkan lampu depan (headlamp) Yamaha Exciter 150