Peminat motosikal di pasaran Malaysia pastinya masih mengingati model sport bike Honda CBR150R yang pernah ditawarkan sekitar tahun 2008 dan 2009 yang lalu. Oleh kerana model tersebut kurang mendapat sambutan, sehingga kini generasi terbaharu Honda CBR150R (2016 – 2020) tidak lagi ditawarkan oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd.
Setakat ini versi paling terkini Honda CBR150R telah dilancarkan di pasaran Thailand pada awal bulan Disember 2020 yang lepas, namun perubahan yang dilakukan hanya melibatkan kemaskini warna baharu sahaja. Spesifikasi teknikal masih lagi sama seperti mana model tahun sebelumnya, membuatkan ramai peminatnya berasa agak kecewa.
Bagaimanapun kekecewaan itu pastinya akan terubat apabila berita terbaru dari negara jiran Indonesia mengatakan PT Astra Honda Motor dijangka bakal melancarkan Honda CBR150R 2021 generasi terbaharu, pada tarikh 12hb. Januari 2021 (Selasa) akan datang. Model itu dikatakan bakal mengalami beberapa perubahan yang lebih menarik.

Antaranya ialah rekaan facelift terbaharu yang lebih sporty dan agresif, yang diilhamkan daripada model Honda CBR250RR. Malah lebih mengujakan ialah ianya juga dikatakan bakal dilengkapi fork depan USD SFF-BP (Showa Separate Function-Big Piston), sama seperti yang diperkenalkan untuk model Honda CB125R 2021 di pasaran Eropah.
Jika benar apa yang diperkatakan itu, pastinya sangat menarik untuk kita menantikan pelancaran rasmi Honda CBR150R 2021 untuk pasaran Indonesia itu. Pada masa yang sama, mungkinkah dengan pelancaran Honda CBR250RR 2021 di pasaran tempatan pada tempoh hari, bermakna Honda CBR150R 2021 juga akan menyusul selepas ini?
Sumber gambar dan info : Motoblast.org & TMCBlog.com