Honda CB1300 Super Four, Super Bol D’or, Super Four SP dan Super Bol D’or SP 2021 diperkenalkan untuk pasaran Jepun

Honda hari ini memaklumkan bahawa maklumat mengenai model terbaharu Honda CB1300 Super Four, Honda CB1300 Super Bol D’or, Honda CB1300 Super Four SP dan Honda CB1300 Super Bol D’or SP 2021 untuk pasaran domestik Jepun akan diumumkan secara rasmi pada tarikh 21hb. Disember 2020 akan datang.

Bagaimanapun foto-foto studio dan beberapa maklumat awal mengenai keempat-empat model tersebut telah pun disiarkan oleh Honda hari ini, membolehkan kita semua melihat dengan lebih dekat perubahan yang dilakukan terhadap model-model tersebut. Antaranya melibatkan skim warna baharu dengan grafik terkini yang lebih memikat.

Perubahan lain yang dilakukan ialah sistem ekzos kini didatangkan dalam konfigurasi 4 dalam 1 yang bersambungan di bahagian bawah enjin, dilengkapi sistem Throttle by Wire (TBW) yang memberikan kawalan pendikit lebih tepat dan sistem Riding Mode dengan tiga pilihan mod tunggangan, serta turut dilengkapi sistem Cruise Control.

Bagi model Honda CB1300 Super Four dan Honda CB1300 Super Bol D’or 2021, penampilan baharu kedua-dua model kini terserlah dengan kerangka berwarna merah yang memberikan gambaran lebih agresif berbanding kerangka model versi tahun sebelumnya yang diwarnakan hitam, termasuk rim roda yang berwarna keemasan.

Siri Honda CB1300 Super Four dan Super Bol D’or dikuasakan enjin dalam sesaran 1,284cc (water-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, 4-cylinder) dengan kuasa maksimum 110PS @ 7,250rpm dan tork maksimum 118Nm @ 5,500rpm. Bagi varian SP,  ianya dilengkapi sistem suspensi daripada Öhlins dan brek Brembo radial mount calipers.