Honda hari ini memperkenalkan skuter PCX160 2021 terbaharu untuk pasaran Jepun. Model tersebut akan berada secara rasmi di pasaran negara matahari terbit itu bermula tarikh 28hb. Januari 2021. Antara yang baharu pada PCX160 ialah penampilannya yang kini lebih sporty dan elegan berbanding model sebelumnya Honda PCX150 2020.
Enjin eSP+ baharu pada PCX160 pula kini telah dipertingkatkan sesarannya kepada 156cc (liquid-cooled, 4-stroke, OHC, single-cylinder), berbanding enjin PCX150 yang hanya dilengkapi enjin bersesaran 149cc. Selain itu enjin PCX160 juga kini dilengkapi dengan empat injap yang lebih cekap berbanding dua injap pada model terdahulu.
Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh Honda PCX160 kini berada pada paras maksimum 15.8PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 15Nm @ 6,500rpm. Sebagai perbandingan, Honda PCX150 menghasilkan kuasa maksimum 15PS @ 8,500rpm dengan tork 14Nm @ 6,500rpm. Peningkatan tersebut menjadikan prestasi PCX160 kini semakin baik.
Sistem brek PCX160 dilengkapi cakera depan dan belakang, dengan sistem ABS satu saluran beroperasi di bahagian roda depan sahaja. Teknologi Honda Selectable Torque Control yang baru diperkenalkan pula menyumbang kepada kestabilan di permukaan yang licin. Seterusnya ruang bagasi di bawah tempat duduk kini berkeluasan 30 liter.
Untuk lebih kemudahan, PCX160 kini dilengkapi pengecas USB sebagai ciri standard yang diletakkan di konsol dalaman di bahagian depan. Sistem Smart Key pula bukan saja memberikan kemudahan untuk membuka tombol suis utama tanpa mengeluarkan kunci dari poket, malah juga dapat membuka Smart Top Box 35 liter dengan mudah.
Sistem suspensi Honda PCX160 2021 terdiri daripada fork depan teleskopik dengan gandingan penyerap hentak berkembar di behagian belakang. Model skuter tersebut dipasangkan tayar depan bersaiz 110/70-14M/C 50P dan tayar belakang 130/70-13M/C 63P. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 8.1 liter, dengan beratnya mencapai 132 kg.
Honda PCX160 untuk pasaran domestik Jepun ditawarkan dalam empat pilihan warna yang menarik, manakala harga jualannya adalah sebanyak 407,000 Yen, bersamaan RM 15,924.60 mengikut kadar semasa. Untuk pasaran Malaysia, Boon Siew Honda dijangka akan melancarkan PCX160 sebagai pesaing Yamaha NMAX 155 2020.