Honda Winner X mengatasi jualan Yamaha Exciter 150 di pasaran Vietnam bagi tahun 2020

Di pasaran Vietnam, Honda Winner X merupakan seteru utama kepada model Yamaha Exciter 150. Kedua-dua model tersebut masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri, namun Honda Winner X yang dilancarkan sejak bulan Julai 2019 itu boleh dikatakan berada selangkah di hadapan berbanding pesaingnya itu.

Oleh itu tidaklah menghairankan apabila jumlah jualan Honda Winner X dalam tempoh 11 bulan yang lalu (Januari – November 2020) telah mengatasi jumlah jualan Yamaha Exciter 150. Menurut sumber dari Vietnam, dalam tempoh tersebut Honda Winner X dikatakan telah mencatatkan jumlah jualan sebanyak 114,000 unit, berbanding Yamaha Exciter 150 yang mencatatkan jumlah jualan dalam lingkungan 91,000 unit sahaja.

Antara sebab-sebab kenapa Honda Winner X berjaya mengatasi jualan Yamaha Exciter 150 ialah kerana ianya didatangkan dengan spesifikasi yang lebih baik. Honda Winner X dilengkapi sistem brek ABS dan CBS, paparan panel meter digital LCD yang moden, enjin 150cc DOHC yang berkuasa dengan transmisi enam kelajuan, fork depan dengan diameter besar yang lebih stabil dan turut dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya,

Di samping itu tidak dilupakan ialah Honda Winner X telah ditawarkan dengan pelbagai insentif yang menarik termasuk pemberian diskaun, menjadikan harganya sangat kompetetif dan sukar dilepaskan. Terkini bagi setiap pembelian Honda Winner X bermula dari 1 – 31 Disember 2020, setiap pembeli akan menerima ganjaran wang tunai berjumlah 5,000,000 VND, bersamaan RM 877.72 mengikut kadar semasa.

Percaturan pihak Honda di pasaran Vietnam dalam memperkenalkan Honda Winner X dengan spesifikasi yang mengatasi pesaingnya, di samping promosi jualan yang agresif ternyata telah memberikan impak kepada angka jualan keseluruhan model tersebut. Pada akhirnya, para pemilik Honda Winner X yang menjadi pemenang sebenar.

Sumber : Tinmoi.vn