Suzuki SV650X 2021 terima kemaskini warna baharu, kini dengan kerangka berwarna emas

Suzuki SV650X 2021 baru saja diperkenalkan di pasaran UK, kini tampil dengan kemaskini warna baharu. Warna asas untuk model tersebut masih sama dengan warna model tahun 2020 iaitu Glass Sparkle Black, namun kini ianya digandingkan dengan kerangka berwarna emas. Suzuki SV650X 2020 mempunyai kerangka berwarna hitam.

Menurut Suzuki UK, enjin Suzuki SV650X 2021 telah pun memenuhi piawaian emisi Euro 5, dengan keluaran kuasanya kini berada pada paras 73PS @ 8,500rpm dengan tork maksimum 64Nm @ 6,800rpm. Enjin bersesaran 645cc (4-stroke, 2-cylinder, liquid-cooled, DOHC, 90°V-twin) itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan.

Berat model tersebut kini berada pada angka 200 kg (kerb mass), manakala kapasiti maksimum tangki bahan apinya kekal 14.5 liter. Untuk prestasi pemberhentian yang mantap, Suzuki SV650X dilengkapi sistem brek ABS dengan cakera depan 290 mm yang dilengkapi kaliper empat piston, bersama-sama cakera belakang 240 mm.

Turut melengkapi spesifikasi model bergaya cafe racer tersebut termasuklah sistem penghidup Suzuki Easy Start System, cowl lampu depan yang bergaya, bar hendal jenis clip on, rekaan kusyen bergaya retro, tangki bahan api dengan sentuhan klasik, lampu belakang berkembar LED dan panel instrumen LCD dengan paparan pelbagai info.