Honda CB125R 2021 diperkenalkan untuk pasaran Eropah, dilengkapi enjin DOHC 4V dan fork depan USD SFF-BP

Honda Motor Europe baru-baru ini secara rasminya telah memperkenalkan model Neo Sports Café Honda CB125R 2021 terbaharu, khusus untuk pasaran Eropah. Model tersebut kini hadir dengan dua kemaskini baharu iaitu dilengkapi enjin DOHC 4V serba baharu dan fork depan USD SFF-BP (Showa Separate Function front Fork Big Piston).

Menurut Honda, enjin serba baharu yang bersesaran 124.9cc (liquid-cooled 4-stroke 4-valve DOHC single cylinder) itu kini menawarkan kuasa yang lebih tinggi, menggantikan enjin terdahulu dengan ciri SOHC 2 valve. Keluaran kuasa maksimumnya kini mencapai 14.75hp (11kW) @ 10,000rpm dengan tork puncak 11.6Nm @ 8,000rpm, berbanding keluaran kuasa sebelumnya 13.14hp (9.8kW) @ 10,000rpm dan 10Nm @8,000rpm.

Terima kasih kepada enjin baharu yang lebih berkuasa, Honda CB125R 2021 kini menawarkan kelajuan maksimum daripada 101 km/j kepada 105 km/j, dengan jarak pecutan dari 0 ke 200 m boleh dilakukan dalam tempoh hanya 11.3 saat. Enjin dengan piawaian Euro 5 itu masih mengekalkan sistem transmisi enam kelajuan yang lancar.

Perubahan utama kedua melibatkan penggunaan fork depan jenis terbalik (upside-down fork) berprestasi tinggi daripada Showa, dikenali dengan nama ringkas SFF-BP (Showa Separate Function front Fork Big Piston). Honda mengatakan CB125R menjadi model pertama di dalam segmen 125cc yang menggunakan sistem suspensi berkenaan.

Spesifikasi teknikal lain untuk Honda CB152R 2021 masih dikekalkan, antaranya seperti sistem brek cakera depan 296 mm (radial-mount Nissin 4-piston caliper) dengan brek cakera belakang 220 mm (single-piston caliper). Sistem brek tersebut dilengkapi ABS dua saluran yang beroperasi melalui sistem IMU (Inertial Measurement Unit).

Turut melengkapi model tersebut ialah panel instrumen digital LCD dengan paparan pelbagai maklumat penting, sistem lampu LED sepenuhnya, tangki bahan api 10.1 liter yang boleh mencapai jarak perjalanan lebih 455 km (WMTC mode), serta kelengkapan tayar depan dan belakang dalam siri 110/70R17M/C 54H dan 150/60R17M/C 66H.

Untuk musim jualan tahun 2021, jentera naked Neo Sports Café Honda CB125R di pasaran Eropah ini mempunyai berat 130 kg (kerb weight), dan didatangkan dalam empat pilihan warna yang menarik seperti Pearl Smoky Gray (warna baharu), Mat Gunpowder Black Metallic, Candy Chromosphere Red dan Mat Jeans Blue Metallic.