GPX Drone bakal dilancarkan pada 17hb. November 2020

Sebelum ini GPX Thailand dan SYM Taiwan telah mengumumkan bahawa kedua-dua syarikat tersebut akan bekerjasama untuk menghasilkan model-model skuter premium baharu, khusus untuk pasaran Thailand, Taiwan dan juga beberapa pasaran lain.

Terkini GPX Thailand telah mendedahkan sebuah model skuter baharu yang dikenali dengan nama GPX Drone, dan ianya telah diumumkan secara rasmi bakal dilancarkan pada tarikh 17hb. November 2020. Model skuter baharu itu dipercayai merupakan antara hasil kerjasama pertama GPX Thailand dengan SYM Taiwan.

Setakat ini reka bentuk sebenar GPX Drone telah bocor di dalam internet, melalui penyiaran awal gambar-gambar model tersebut dengan latar belakang berwarna hijau. Ianya dikatakan gambar-gambar paten untuk model berkenaan, yang secara jelas memperlihatkan reka bentuk keseluruhannya yang sporty dan kelihatan elegan.

Untuk maklumat selanjutnya mengenai spesifikasi dan harga yang akan ditawarkan untuk pasaran Thailand, kita perlu menunggu dalam tempoh dua hari lagi untuk melihat pelancaran GPX Drone ini. Model skuter ini juga berkemungkinan besar akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia, di samping model-model keluaran GPX yang lain.