
Sebelum ini ada MyRider, semalam Etiqa melancarkan pula MyRider Plus.
MyRider Plus ini ialah produk perlindungan tambahan ke atas produk Insurans atau Takaful Motosikal Komprehensif sedia ada.

MyRider untuk motosikal bawah 249cc dan produk terbaharu MyRider Plus adalah untuk motosikal berkapasiti 250cc dan ke atas.

Secara asasnya, MyRider Plus ini ada tiga poin yang diketengahkan untuk tarik perhatian pengguna atau pemilik motosikal iaitu:
- Khidmat tunda tanpa had perbatuan dan bantuan kecemasan 24 jam. Ini kami akan jelaskan lebih lanjut di bawah.
- Manfaat hilang upaya kekal atau kematian akibat kemalangan sebanyak RM10,000.
- Ada elaun kesulitan sebanyak RM500. Ini berkait kehilangan atau kerosakan motosikal akibat kemalangan. Elaun ini diberikan sekali sahaja (on-off) sepanjang tempoh polisi MyRider Plus.
Ada juga beberapa poin lain ditawarkan dalam pakej tambahan MyRider Plus seperti perbelanjaan perubatan sehingga RM2,000 dan elaun kesulitan akibat banjir sebanyak RM500.
Harga yang anda perlu bayar untuk mendapatkan tambahan MyRider Plus ialah RM150 setahun (purata 40 sen sehari).
Semua manfaat yang dinyatakan di atas ini masih tertakluk pada terma dan syarat pihak Etiqa.
Sekarang kami akan bentangkan beberapa maklumat yang diperoleh menerusi sesi soal jawab bersama media dalam satu majlis khas di Sungai Buloh, Selangor:
- Produk ini hanya untuk pemegang polisi insurans atau takaful motosikal komprehensif di bawah Etiqa sahaja. Tidak ditawarkan ke atas mana-mana polisi syarikat insurans lain.
- MyRider Plus ini untuk insurans komprehensif (all rider) sahaja sebab Etiqa tidak lagi menjual polisi untuk single rider.
- Etiqa perkenalkan produk tambahan ini kerana polisi insurans/takaful kemalangan sedia ada hanya memberi melindungi motosikal, bukannya penunggang. MyRider Plus akan lindungi penunggang dan pembonceng.
- Khidmat tunda tanpa had perbatuan cuma tiga kali sepanjang tempoh polisi. Untuk kali keempat, Etiqa boleh tunda tapi pengguna kena bayar sendiri.
- Semasa tunda, pemegang polisi kena bayar caj tol sehala iaitu dari point of breakdown ke bengkel (workshop).
- Untuk mereka yang gemar naik Genting, Etiqa ada menyatakan MyRider Plus boleh digunakan (walaupun Genting itu jalan persendirian).
- Pakej komprehensif ada khidmat tunda percuma 50km. Kalau pemegang polisi beli tambahan Myrider Plus, itu tidak akan jejaskan towing percuma 50km.
- Perlu diingatkan, khidmat tunda tanpa had perbatuan ini hanya di kawasan Semenanjung. Belum lagi disediakan di Sabah dan Sarawak.
- MyRider Plus tidak sah untuk mereka yang terlibat dalam sektor e-Hailing. Etiqa jelaskan MyRider Plus ialah untuk kegunaan persendirian dan bukan komersial.
- MyRider Plus juga tidak boleh diguna pakai dalam trek perlumbaan. Hanya untuk jalan awam. Jika mahu perlindungan semasa di trek, ada pakej lain dengan premium lebih mahal.
- Kalau pemegang polisi berada di luar negara dan motor mengalami permasalahan, khidmat tunda dari negara asing ke sempadan Malaysia perlu ditanggung pengguna.
- Kalau ada dua motor, satu bawah 249cc dan satu lagi atas 250cc… pemilik perlu beli dua tambahan polisi jika mahu perlindungan iaitu MyRider untuk bawah 249cc dan MyRider Plus untuk motor 250cc ke atas.
- Kalau sudah ada polisi insurans atau takaful motosikal komprehensif dan nak dapatkan perlindungan tambah MyRider, boleh tapi perlindungan MyRider akan ikut baki tarikh polisi komprehensif. Walaupun tempoh insurans/takaful kurang 12 bulan, harga MyRider Plus kekal sama… tiada pengurangan harga dan ada cooling period selama 30 hari.



