Honda CB650R 2021 diperkenalkan, kini dilengkapi fork depan Showa SFF-BP dan enjin bertaraf Euro 5

Honda CB650R kini telah sampai ke model tahun 2021, diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Eropah pada awal bulan Oktober 2020 yang lalu. Model naked tersebut hadir dengan beberapa perubahan terbaharu, paling menarik ialah suspensi depannya kini dilengkapi Showa Separate Function front Fork Big Piston (SFF-BP) USD 41 mm.

Bahagian enjinnya pula kini telah menerima piawaian emisi Euro 5, hasil daripada kemaskini terbaharu yang dilakukan oleh Honda. Masih mengekalkan kapasiti 649cc (liquid-cooled 4-stroke 16-valve DOHC inline-4 cylinder), kuasa yang dihamburkan adalah sebanyak 93.8hp (70kW) @ 12,000rpm dengan tork puncak 63Nm @ 8,500rpm.

Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan dengan bantuan sistem Assist & Slipper Clutch, juga didatangkan bersama-sama teknologi Honda Selectable Torque Control (HSTC) untuk menguruskan daya tarikan roda belakang. Sistem HSTC itu boleh dimatikan (turned off) bergantung kepada pilihan penunggang.

Ciri-ciri terbaharu lain yang diperkenalkan untuk Honda CB650R 2021 termasuklah panel meter digital LCD yang kini tampil dengan penglihatan lebih jelas, soket pengecas USB jenis Type-C di bawah tempat duduk, panel sisi baharu yang menonjolkan gaya minimalis dan mudguard belakang keluli berbanding buatan plastik nilon sebelumnya.

Seterusnya kemaskini terbaharu turut melibatkan peningkatan sudut palang pemegang (handlebar), naik 3° kepada 35°. Penyesuaian terbaharu itu membolehkan putaran handlebar pada laluan yang sempit, pada kelajuan perlahan dan ketika mengambil pusingan U menjadi lebih mudah. Warna baharu yang diperkenalkan pula ialah Pearl Smoky Gray, di samping tiga warna terdahulu yang dibawa dari model tahun 2020.

Spesifikasi terdahulu yang masih dikekalkan untuk Honda CB650R 2021 ialah sistem lampu LED sepenuhnya, suspensi belakang monoshock (adjustable for 7-stage spring preload), sistem brek dwi cakera depan dengan kaliper empat piston (radial-mount) 310 mm, brek cakera belakang kaliper tunggal 240 mm dan sistem ABS dua saluran.

Di bahagian roda, jentera naked berprestasi itu dilengkapi rim aluminium sporty yang dipasangkan tayar depan dan belakang dalam saiz 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 15.4 liter, dengan berat motosikal keseluruhan (kerb weight) 202.5kg. Ketinggian tempat duduknya kekal pada 810 mm.