Untuk pasaran Taiwan baru-baru ini, Kawasaki telah memperkenalkan dua pilihan warna terbaharu yang menarik untuk model penjelajah Kawasaki Versys-X 300 Tourer model tahun 2021. Spesifikasi teknikal bagaimanapun tidak berubah dan kekal sama.
Kawasaki Versys-X 300 Tourer 2021 dikuasakan enjin bersesaran 296cc (water-cooled, 4-stroke, parallel twin-cylinder, 8-valve, DOHC) dengan transmisi enam kelajuan, dan menawarkan kuasa maksimum 40PS @ 11,500rpm dan tork 25.7Nm @ 10,000rpm.
Dengan berat hanya 184 kg (equipment weight), kapasiti penuh tangki bahan api 17 liter, ketinggian tempat duduk 815 mm dan jarak kelegaan bumi minimum 180 mm, menjadikannya sebagai sebuah jentera penjelajah yang praktikal dan mengujakan.
Untuk pengendalian yang cemerlang, ianya dilengkapi fork depan 41 mm dan suspensi belakang tunggal yang boleh dilaraskan (adjustable preload). Sistem brek cakera depan (290 mm) dan belakang (220 mm) dengan ABS melengkapkan ciri keselamatannya.
Kawasaki Versys-X 300 Tourer 2021 dilengkapi roda depan dalam ukuran 100/90-19, manakala roda belakangnya mempunyai ukuran 130/80-17. Model tersebut turut dilengkapi panel meter digital pelbagai fungsi dengan meter RPM analog yang besar.
Melengkapkan lagi ciri-cirinya sebagai sebuah model ‘tourer’ sejati ialah beberapa peralatan standard yang sedia terpasang seperti kotak barangan sisi, lampu kabus, pelindung genggaman tangan dan tongkat tengah yang memberi lebih kemudahan.