Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. (SMSB) kini beralamat baharu di Shah Alam, Selangor

Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. melalui surat bertarikh 01hb. Julai 2020 dan ditandatangani oleh Pengarah Urusan, Kunihiko Uetsuki, telah memaklumkan bahawa syarikat tersebut akan menutup semua operasi perniagaan mereka di Malaysia. Surat itu kemudiannya diedarkan kepada semua pengedar sah Suzuki di Malaysia.

Di dalam surat berkenaan juga telah dimaklumkan bahawa semua urusan perniagaan Suzuki Assemblers pada masa depan akan diuruskan oleh syarikat baharu Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. (SMSB). Kemudiannya terdengar desas-desus bahawa SMSB bakal diambil alih oleh syarikat Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (KMSB).

Setakat ini kedua-dua belah pihak SMSB dan KMSB masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. Pada masa yang sama Modenas juga dilaporkan bakal mengambil alih hak pengedaran motosikal Kawasaki di pasaran Malaysia. Namun pihak Modenas juga kekal membisu tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Bagaimanapun baru-baru ini laman Facebook rasmi SMSB telah mengemaskini alamat baharu pejabat mereka, yang kini beralamat di No. 14, Jalan Jurunilai U1/20, Seksyen U1, HICOM Glenmarie Industrial Park, Shah Alam, Selangor. Alamat tersebut terletak di jalan yang sama dengan alamat KMSB yang berada di premis bernombor No. 12.

Informasi terbaharu ini seakan-akan mengesahkan khabar angin yang telah tersebar sebelum ini. Pada masa yang sama ianya memberikan pelbagai kemungkinan yang menarik, antaranya SMSB akan kembali mengedarkan model-model motosikal keluaran Suzuki dalam segmen enjin yang lebih kecil berbanding motosikal besar sahaja.

Jika jangkaan tersebut menjadi kenyataan seratus-peratus, peminat motosikal tempatan pastinya boleh mengharapkan pelancaran model-model terbaharu keluaran Suzuki di pasaran Malaysia seperti Suzuki Smash Fi, Suzuki Belang R150 Fi, Suzuki GSX-R150, Suzuki GSX-S150, dan kemungkinan juga model sport bike Suzuki GSX250R.

(Visited 9,113 times, 1 visits today)