Suzuki GSX250R adakah akan masuk ke pasaran Malaysia?

Di kalangan model-model sportbike full fairing dalam kategori 250cc ketika ini, yang sering disebut-sebut dan dikenali ramai antaranya ialah Honda CBR250RR, Yamaha YZF-R25 dan Kawasaki Ninja ZX-25R. Namun berbeza pula dengan model Suzuki GSX250R yang seakan-akan dilupakan oleh peminat permotoran di negara kita.

Suzuki GSX250R buat pertama kalinya diperkenalkan di peringkat global pada bulan Oktober 2016, apabila ianya secara rasmi dilancarkan untuk pasaran negara China. Setakat ini, antara negara-negara lain yang menawarkan model tersebut ialah UK, Perancis, USA, Canada, dan juga negara asalnya Jepun. Untuk pasaran di negara-negara ASEAN termasuk Malaysia, Suzuki GSX250R masih belum di bawa masuk.

Melihat kepada rekabentuk dan spesifikasinya, Suzuki GSX250R menawarkan sebuah model sportbike yang sporty, tidak kalah kalau dibandingkan dengan model-model lain yang menjadi saingannya. Enjinnya bersesaran 248cc (4-stroke, liquid-cooled, SOHC, parallel-twin) dengan padanan transmisi enam kelajuan, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 25PS @ 8,000rpm dengan tork puncak 23.40Nm @ 6,500rpm.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapinya termasuklah paparan instrumen digital dengan pelbagai informasi, palang pemegang (handlebar) jenis clip-on, suspensi depan dan belakang berjenama KYB, sistem brek dengan pilihan varian ABS, dan sistem ekzos yang meningkatkan prestasi enjin untuk tunggangan yang lebih mengujakan. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti 15 liter, manakala beratnya ialah 181 kg.

Bagaimanapun setakat maklumat yang diketahui, sejak pelancarannya pada tahun 2016 yang lalu, Suzuki GSX250R masih belum menerima apa-apa perubahan major. Ini bermakna spesifikasi teknikalnya masih sama tanpa ada sebarang peningkatan, sedangkan Honda, Yamaha dan Kawasaki kini semakin jauh ke depan dengan memperkenalkan pelbagai inovasi dan teknologi baharu untuk model keluaran mereka.

Suzuki GSX250R seolah-olah dilancarkan bukan untuk bersaing dengan model Honda CBR250RR, Yamaha YZF-R25 dan Kawasaki Ninja ZX-25R. Mungkin sebab itulah ianya tidak dibawa masuk ke pasaran ASEAN yang menjadi antara pasaran terbesar dunia untuk motosikal sportbike full fairing dalam kelas 250cc. Untuk melihat model ini dilancarkan di pasaran Malaysia, harapan yang ada boleh dikatakan agak mustahil.

Untuk makluman anda di pasaran domestik Jepun, Suzuki GSX250R versi kemaskini warna terbaharu dilancarkan pada bulan Julai 2019 yang lalu, dan kini ianya boleh didapati dalam empat pilihan warna yang menarik. Harga yang ditawarkan bermula dari 536,800 Yen, bersamaan nilai RM 21,119.46 mengikut kadar tukaran semasa.