TVS Neo X3i di pasaran Malaysia, harga dari RM 3,988.00

Di pasaran Malaysia sejak tahun 2019 ialah sebuah model kapcai yang bernama TVS Neo X3i, yang mana ianya dilancarkan secara rasmi bersama-sama sebuah lagi model iaitu TVS Apache RTR 200 pada bulan Disember 2018 yang lalu. Kedua-dua model berkenaan diedarkan di pasaran tempatan oleh syarikat Daju Motors Sdn Bhd.

TVS Neo X3i ditawarkan pada harga jualan bermula dari RM 3,988.00, dan dikuasakan enjin 109.7cc (4-stroke, SOHC, Air Cooled, Single Cylinder) dengan kotak gear empat kelajuan. Sistem penyampaian bahan api model berkenaan masih lagi jenis karburator, menghasilkan kuasa maksimum 8.5bhp @ 8,000rpm dan tork 8.5Nm @ 4,500rpm.

Penampilan TVS Neo X3i boleh dikatakan menarik dan sporty, hadir dengan rekaan lampu depan moden, enjin jimat petrol dengan piawaian Euro 3, brek cakera depan, pengecas USB dan ruang simpanan barang-barang seluas 8.7 liter. Empat pilihan warna ditawarkan iaitu Green – Black, Blue – Black, Red – Black dan Orange – Black.