Web Analytics
Kawasaki Z250SL masih dijual di pasaran Malaysia, harga asas RM 15,539.00 – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Kawasaki Z250SL masih dijual di pasaran Malaysia, harga asas RM 15,539.00

Diperkenalkan sejak tahun 2014, model naked Kawasaki Z250SL kini masih lagi dijual di pasaran Malaysia. Antara kelebihan model ini selain daripada rekabentuknya yang menarik dan sporty ialah berkenaan harganya. Berdasarkan maklumat terkini di dalam Mudah.my, Kawasaki Z250SL dijual pada harga asas serendah RM 15,539.00 sahaja.

Kawasaki Z250SL memiliki enjin empat lejang berkapasiti 249cc (Liquid-cooled, 4-stroke, Single cylinder, DOHC, 4 valves) dengan hanya satu silinder tunggal. Enjin tersebut sama seperti yang dimiliki oleh model kembarnya Kawasaki Ninja 250SL, yang turut dijual di pasaran Malaysia pada harga asas dalam lingkungan RM 17,499.00.

Mungkin bagi sesetengah individu, enjin dalam kelas 250cc dengan hanya satu silinder kurang menarik minat. Bagaimanapun Kawasaki Z250SL dengan transmisi enam kelajuan ini dilihat masih mampu menawarkan janaan kuasa yang memuaskan, apabila menghasilkan kuasa maksimum 28PS @ 9,700rpm dengan tork 22.6Nm @ 8,200rpm.

Tambahan pula beratnya hanya 148 kg (curb mass), yang pastinya menawarkan nisbah kuasa kepada berat yang sangat baik. Spesifikasi lain tidak kurang menariknya, seperti fork teleskopik 37 mm di bahagian depan dan suspensi monoshock uni-trak di bahagian belakang. Suspensi belakang itu memiliki ciri pelarasan pra-beban pada lima tahap.

Beralih ke bahagian sistem brek yang menawarkan prestasi pemberhentian yang mantap, bahagian depannya dilengkapi cakera tunggal 290 mm dengan kaliper dual-piston, sementara di bahagian belakang terdapat cakera tunggal 220 mm, juga dengan kaliper dual-piston. Kawasaki Z250SL hadir dengan tangki petrol berkapasiti 11 liter.

Menurut Kawasaki, model naked Z250SL ini sesuai kepada penunggang baharu, termasuklah sesuai kepada penunggang wanita. Ianya juga sesuai kepada individu yang mahu menaik taraf motosikal mereka daripada moped atau skuter, atau untuk mereka yang baru mula berjinak-jinak dengan motosikal dalam kategori lebih besar.

 
Arena Motosikal © 2023