Yamaha YZF-R15 Monster GP Edition 2019 di pasaran Malaysia, harga asas RM 12,618.00

Untuk pasaran Malaysia, peminat motosikal tempatan berpeluang untuk memiliki model sportbike Yamaha YZF-R15 2019 dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Race Blu, Kuning dan Hitam. Bagaimanapun untuk peminat yang mahukan sesuatu yang lebih istimewa, HLYM turut menawarkan model tersebut dalam edisi Monster GP Edition.

Yamaha YZF-R15 Monster GP Edition 2019 telah berada di pasaran tempatan sejak penghujung bulan September tahun lepas. Model tersebut tampil dengan skim warna dan grafik berasaskan jentera perlumbaan MotoGP Yamaha Factory Racing YZF-M1 yang ditunggang oleh Valentino Rossi dan Maverick Vinales bagi musim 2019.

Harga asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 12,618.00, sedikit tinggi berbanding harga asas sebanyak RM 11,988.00 yang ditawarkan pada model standard. Menurut HLYM, setiap pembelian model motosikal keluaran edisi terhad itu akan menerima sijil pengesahan pemilikan yang mengandungi butir-butir lengkap enjin dan casisnya.

Di samping itu, pembeli juga akan menerima kunci cakera Yamaha yang diberikan secara percuma. Spesifikasi dan ciri-ciri teknikal Yamaha YZF-R15 Monster GP Edition 2019 masih sama seperti model standard, dikuasakan enjin bersesaran 155cc dengan kuasa maksimum 19hp (14.2kW) @ 10,000rpm dan tork 14.7Nm @ 8,500rpm.

(Visited 215 times, 1 visits today)