Untuk pasaran Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. pada pertengahan tahun 2018 yang lalu telah memperkenalkan jenama motosikal baharu Brixton Motorcycles. Jenama tersebut berada di bawah KSR Group yang berasal dari Austria.
Tiga model ditawarkan iaitu BX150 yang bergaya klasik, BX150X dengan gaya scrambler dan BX150R yang tampil dengan gaya cafe racer. Ketiga-tiga model tersebut dilengkapi enjin 149cc (1-Cylinder, 4 Stroke, SOHC, Air Cooled) dengan kuasa maksimum 8.7kW @ 8,000rpm dan tork 11.9Nm @ 6,000rpm. Enjin tersebut dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik dan transmisi lima kelajuan.
Sistem suspensi untuk BX150, BX150X dan BX150R terdiri daripada fork teleskopik di bahagian depan dan absorber berkembar di bahagian belakang. Untuk keselamatan, ketiga-tiga model dilengkapi sistem brek cakera depan dan belakang. Ketiga-tiga model berkenaan juga menawarkan tangki bahan api dengan isian maksimum 14 liter.
Sewaktu pelancarannya dahulu, harga yang ditawarkan untuk BX150 adalah sebanyak RM 8,988.00, manakala BX150X boleh dimiliki pada harga RM 9,288.00. Bagi model BX150R, ianya ditawarkan pada harga RM 9,588.00. Kesemua harga tersebut adalah harga asas dan tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.
Dengan pengenalan jenama Brixton Motorcycles ini, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. kini telah menjadi pengedar kepada tujuh jenama motosikal di pasaran Malaysia, yang mana antaranya termasuklah Benelli, SYM, SM Sport dan WMoto.