Category: Haojue DL160

Suzuki Colombia dedah V-Strom 160 (2024) bakal muncul, kembar Haojue DL160?

Beberapa hari lalu, Suzuki Colombia sudah kongsikan beberapa gambar poster promosi model adventure Suzuki V-Strom 160 di Instagram dan Facebook.

Ini secara langsung mengesahkan Suzuki akan memperkenalkan model paling kecil dalam keluarga V-Strom selepas gambar paten model itu bocor kira-kira 4 tahun lalu.

Warga maya dengan pantas membuat perbandingan dan mengaitkan Suzuki V-Strom 160 itu dengan satu lagi motosikal yang wujud di China iaitu Haojue DL160.

Memang benar, Haojue Holdings ada menghasilkan motosikal jenama Suzuki dan jenama Haojue sendiri di China dan mengeksport produk roda dua itu ke lebih 80 negara lain.

Adakah Suzuki V-Strom 160 ini kembar Haojue DL160?

Rakan media di Indonesia dan India mendedahkan spesifikasi Suzuki V-Strom 160 (2024) menerusi laporan masing-masing. Kalau dibandingkan data spesifikasi, kedua-duanya memang sama.

Suzuki V-Strom 160 (2024) menggunakan enjin 4 strok silinder tunggal 162cc SOHC dengan penyejukan udara dan suntikan petrol (FI) untuk penghasilkan 14.75hp @ 8,000rpm dan tork maksimum 14Nm @ 6,500rpm.

Enjin dipasang dengan kotak gear 5 kelajuan klac manual dan dianggap sesuai untuk ditunggang di dalam bandar atau sekali sekala meredah laluan off road ringan.

Saiz motosikal V-Strom 160 dilaporkan 2,025mm dengan 775mm lebar manakala ketinggiannya adalah 1,195mm. Jarak rodanya 1,345mm dan ketinggian dari tanah ialah 160mm.

Tempat duduk memiliki ketinggian 795mm untuk motosikal seberat 148kg. V-Strom 160 dipasang tangki petrol 13 liter.

Saiz rim standard 17 inci menerima tayar 100/80 (depan) dan 130/70 (belakang). Roda depan dan belakang juga mendapat brek cakera tunggal dan sistem brek antikunci (ABS).

Foto: Suzuki Colombia